PASANGAN selebriti sifatkan perjalanan selama setahun sebagai suami isteri paling menyeronokkan.
PASANGAN selebriti sifatkan perjalanan selama setahun sebagai suami isteri paling menyeronokkan.
Najiy Jefri

TEMPOH setahun melayari bahtera rumah tangga nyata membawa makna yang cukup istimewa buat pasangan selebriti Dini Schatzmann dan Janna Nick.

Menyifatkan perjalanan setahun bergelar suami dan isteri adalah kebahagiaan terindah dalam hidup mereka, Dini berkata, dia bersyukur kerana dipertemukan dengan insan yang cukup bertuah.

"Alhamdulillah satu pengalaman yang cukup indah dan semuanya berjalan lancar. Kami banyak belajar antara satu sama lain.

"Belajar untuk mengenali pasangan dengan lebih dekat lagi adalah fasa yang paling menyeronokkan dalam perkahwinan," katanya.

Berpeluang mengadakan majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya baru-baru ini, pelakon berdarah kacukan Melayu-Switzerland itu dilihat sempat melakukan satu video istimewa buat Janna.

Menerusi video kejutan yang turut dimuat naik di akaun Instagram miliknya itu, Dini mendedahkan rahsia kebahagiaan rumah tangga seperti rutin harian mereka setiap hari serta memberi keizinan kepada Janna menyambung pengajian ke luar negara.

Janna yang menyaksikan video itu dipertontonkan bukan saja mengalirkan air mata, malah hilang kata-kata kerana terharu dengan usaha suaminya merakamkan video sebagai kejutan.

"Keinginan untuk sambung belajar timbul sejak dua tahun lalu. Setiap kali saya tanyakan perkara itu pada Dini, tiada sebarang reaksi yang diberi.

"Saya sangkakan, dia tak nak sokong niat saya untuk sambung belajar, namun rupa-rupanya dia nak buat kejutan itu malam ini.

"Insya-Allah saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perfileman di luar negara. Lokasinya dirahsiakan," katanya.

Mengulas mengenai setahun perkahwinan bersama Dini, Janna berkata, dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk menimang cahaya mata dan bergelar ibu.

Dia berharap impian untuk bergelar ibu dimakbulkan Tuhan dan berharap ratusan tetamu yang diundang pada majlis resepsi itu dapat mendoakan mereka.

"Kami harap dengan adanya majlis resepsi kedua ini ramai yang dapat mendoakan kehadiran bayi dalam perut saya.

TAK sabar nak jadi ibu.
TAK sabar nak jadi ibu.

"Saya memang nak timang anak secepat mungkin kerana saya sudah mencapai segala yang diinginkan dalam karier seni dan kehidupan saya. Tiada apa lagi yang saya nak kejar selain menjadi seorang ibu," katanya.

Dalam pada itu, Dini berkata, sebagai suami dia selalu mengingatkan isterinya supaya tidak putus harapan dan teruskan berdoa agar dikurniakan zuriat.

"Alhamdulillah ramai yang mengaminkan doa kami apabila menyebut mengenai nak timang anak. Memang itu adalah salah satu keinginan kami sekarang.

"Tapi dalam waktu sama kami selalu mengingatkan satu sama lain supaya jangan putus harapan dan teruskan berdoa serta perlu percaya kepada perancangan Allah SWT kepada hamba-Nya.

"Siapa tahu dalam ratusan tetamu yang hadir pada majlis resepsi kedua ini ada doa yang diangkat dan kami dikurniakan cahaya mata," katanya.

Antara rakan artis yang memeriahkan acara itu adalah Datuk Afdlin Shauki, Erma Fatima, Nora Danish, Umi Nazeera, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Diana Danielle, Emma Maembong, Nazim Othman, Keith Foo, Puteri Sarah Liyana dan Sherry Alhadad.

Dini dan Janna melangsungkan perkahwinan di sebuah resort mewah di Langkawi pada 10 Jun tahun lalu.

Majlis tertutup itu menyaksikan Janna menerima mas kahwin sebanyak RM2,703 sebagai simbolik tarikh perkenalan mereka 27 Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 6:00 AM