JANNA dan Dini kali pertama berlakon bersama.
JANNA dan Dini kali pertama berlakon bersama.
Sudirman Mohd Tahir

KISAH cinta pasangan kekasih, Janna Nick dan Dini Schatzmann bukan lagi rahsia.

Tinggal lagi peminat masih menunggu bila hari bahagia mereka bakal berlangsung.

Keintiman dan kebahagiaan mereka bukan saja di dunia realiti, tapi kini peminat boleh menyaksikan gandingan pertama mereka dalam drama Marry Me Senorita yang mula ditayangkan di saluran Astro Ria, 2 Februari lalu.

Walaupun masih baru, Dini yang juga kacukan Melayu-Switzerland diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam slot itu yang turut menyaksikan Dini menyahut cabaran melakonkan watak berat dan penuh emosi berbanding watak lain yang pernah dibawakan sebelum ini.

Dini yang melakonkan watak Isa Alejandro berkata, satu cabaran buat dirinya mencipta keserasian bersama kekasihnya, Janna.

"Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang cukup hebat antaranya Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Fadilah Mansor, Yasmin Hani. Janna Nick dan ramai lagi.

ANTARA babak dalam drama Marry Me Senorita.
ANTARA babak dalam drama Marry Me Senorita.

"Jalan cerita drama ini cukup menarik kerana ia mempunyai banyak konflik dalaman yang ditonjolkan. Pengalaman menjayakan drama ini cukup bermakna dan saya akui cabaran yang diberi amat sukar terutamanya untuk membina keserasian di antara saya dan Janna menerusi lakonan.

"Ini kerana watak Isa dan Sofiy tidak sama dengan watak saya dan Janna dalam dunia nyata. Jadi, apabila Isa kena 'berlagak' dengan Sofiy, keserasian itu memang susah pada mulanya," katanya.

Sementara itu, Janna yang melakonkan watak Sofiy Leia turut mengakui perbezaan watak dirinya dengan Dini di luar set mewujudkan perasaan kekok ketika berlakon bersama.

"Peminat drama Melayu perlu menonton drama ini kerana ia antara drama yang amat susah untuk saya lakonkan kerana hero utama adalah pasangan saya sendiri di luar set. Watak dan personaliti dalam drama ini sangat berbeza dan memang berlawanan dengan watak sebenar kami lalu mewujudkan perasaan kekok di antara kami.

"Tidak dinafikan kami memang mempunyai keserasian di luar set lakonan tetapi bila harus dibawa ke dalam drama, ia sangat sukar untuk diterjemahkan. Dalam masa sama, saya juga perlu sentiasa peka dengan dialog yang dilontarkan Dini.

"Sebab kita sedia maklum bahawa bahasa Melayu Dini masih lagi dalam proses pembelajaran. Di samping perlu berjaga-jaga dengan dialognya, saya juga kena menjaga watak saya. Ini cabaran besar untuk saya dan diakui drama ini bukan drama yang mudah untuk saya lakonkan," katanya.

Drama bersiri itu adalah naskhah adaptasi novel dengan menggunakan judul sama hasil nukilan Suri Ryana yang mengangkat genre romantik terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd.

PELAKON yang turut berlakon.
PELAKON yang turut berlakon.

Drama 28 episod arahan Nur Ain Sharif ini turut menampilkan pengarah, Michael Ang selaku penerbit serta barisan penulis skrip yang terdiri daripada Rehal Nurharis dan Dayang Kartinah.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal berkata, antara faktor penerbitan drama itu adalah kejayaan novel berkenaan yang laris dan mendapat sambutan ramai.

"Pemilihan novel ini untuk diangkat ke dalam bentuk drama adalah berasaskan jalan ceritanya yang tersendiri dan kejayaan novel itu yang mendapat sambutan hangat dan laris terjual sewaktu ia diterbitkan.

"Kami percaya ia mampu menarik perhatian penonton terutamanya daripada kalangan pembaca novel yang pastinya ingin menyaksikan visual karya itu apabila diterjemahkan dalam bentuk drama bersiri.

"Kredibiliti Janna selaku pelakon tidak perlu disangkal lagi. Manakala Dini juga mempunyai bakat dan potensi besar untuk menempa nama dalam bidang lakonan. Keserasian pasangan ini yang kini sedang dalam fasa bahagia sebagai kekasih di alam nyata seperti yang dapat kita saksikan secara terbuka terutamanya di platform media sosial juga antara faktor utama pemilihan mereka selaku teraju utama. Malah, drama ini turut dijayakan oleh barisan pelakon hebat tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:25 AM