DINI mahu dikenali dengan usaha sendiri.
DINI mahu dikenali dengan usaha sendiri.
Sudirman Mohd Tahir


BAKAT pelakon kacukan Melayu-Switzerland ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Kemunculannya dalam drama tempatan memberikan warna baharu terutama bagi watak hero yang selama ini didominasi oleh pelakon berwajah Melayu.

Biarpun kisah mengenai hubungannya dengan pelakon, Janna Nick sering menjadi tumpuan, Dini Azan Schatzmann berjaya membuktikan kehadirannya dalam dunia lakonan masih berbekalkan bakat dimiliki.

Dari satu naskhah ke naskhah lain, lakonan Dini, 27, wajar diberi pujian. Peningkatan yang ditunjukkan menjadikan Dini antara pelakon yang akan terus menjadi pujaan ramai.

Buktinya, lakonan Dini menerusi drama Marry Me Senorita yang ditayangkan di saluran Astro Ria membuatkan ramai wanita 'cair' dan ternanti-nanti kemunculannya pada setiap episod.

Menariknya, dalam drama itu Dini berlakon di samping kekasih tercinta, Janna yang mana kedua-dua mereka melakonkan watak utama sebagai pasangan suami isteri.

Menurut Dini, gandingan mereka itu memberikan satu lagi pengalaman baharu buat dirinya.

"Pengalaman berlakon dengan Janna, agak sukar kerana watak dan perwatakan yang berbeza dari diri kami yang sebenar. Apapun, Janna sangat profesional di lokasi penggambaran. Saya banyak belajar dengan dia dari segi penguasaan bahasa Melayu dan lakonan.

"Sebenarnya, apabila berlakon bersama memang janggal kerana perwatakan yang berbeza di luar dan dalam set. Malah, ia menjadi lebih mencabar kerana Janna lebih garang di lokasi," katanya

Walaupun berlakon dengan kekasih sendiri, Dini mengakui ia bukan alasan untuk mengambil mudah watak yang dilakonkan iaitu Isa Alejandro.

Malah, Dini berkata, watak itu sukar untuk dijayakan kerana ia berbeza dengan karakter sebenar dirinya.

"Sejujurnya watak ini sukar buat saya. Sebab watak Isa Alejandro sangat berbeza dengan personaliti sebenar saya. Dalam masa sama, saya masih baharu dalam bidang lakonan dan memang perlu banyak belajar lagi.

"Kalau selepas ini ada tawaran untuk kami berlakon bersama lagi, saya okey. Ini kerana saya selesa bekerjasama dengan Janna. Lagi pula, dia seorang pelakon yang bagus dan banyak mengajar saya," katanya.

DINI dan Janna berlakon sebagai suami isteri.
DINI dan Janna berlakon sebagai suami isteri.

Dalam masa sama, Dini mengakui tidak boleh lari daripada dibayangi populariti dimiliki Janna.

"Tak dapat dinafikan, Janna adalah alasan kepada perkara ini. Tapi, tentu saja saya nak lebih dikenali kerana diri sendiri. Malah, saya yakin untuk berdiri dengan nama sendiri," katanya.

Kena tempias 'serangan'

Dalam perkembangan lain, Dini mengulas mengenai kekecohan dan kontroversi yang terkait dengan kekasihnya.

Isu mengenai video yang ditularkan semula yang mendakwa Janna mempersenda kematian penyanyi Korea dan gelaran BlackPig kepada seorang anggota kumpulan Korea, BLACKPINK mencetuskan perdebatan ramai.

Namun, perkara itu reda selepas Janna mengambil pendekatan memohon maaf selain mahu mengheret beberapa individu yang memfitnah dirinya dalam isu terbabit.

Ditanya kepada Dini, dia berkata turut terkena tempias 'serangan' netizen.

"Ada sikit, tapi tidak memberi kesan terhadap kerjaya saya," katanya.

Menurut Dini, sebagai kekasih dia banyak memberikan kata-kata semangat buat Janna sepanjang isu itu diperkatakan.

"Saya selalu cakap pada Janna yang mana dia memiliki hati yang sangat baik. Dia juga seorang wanita yang kuat dan berjaya. Jadi, tidak perlu terkesan dengan isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 7:00 AM