Kuala Lumpur: Pelakon Dini Schatzmann tidak menganggap masalah kesihatan yang dihadapi kekasihnya juga pelakon Janna Nick, beban besar kepada dirinya.

Dini berkata, dia ikhlas menjaga dan memberi sepenuh perhatian kepada Janna yang mengalami penyakit gangguan bipolar.

Menurut Dini, atas dasar cinta yang terbina selama dua tahun, dia tidak akan sesekali meninggalkan Janna mengharungi ujian itu seorang diri.

"Kita tidak akan faham apa yang berada dalam fikiran mereka yang mengalami kesihatan mental. Awalnya, saya cuba memahami apa yang berada dalam fikiran Janna. Lama-kelamaan saya mula faham. Saya hanya perlu sentiasa bersamanya dan menjadi orang yang boleh diharapkan.

"Saya perlu menjadi positif dan kuat untuk Janna. Paling penting, beri masa yang dia perlukan. Saya tahu ada ketika Janna fikir saya menyusahkannya. Namun, dalam lubuk hati, Janna tahu apa yang saya buat untuknya ikhlas dan tidak menyusahkan," katanya.

Pada April tahun lalu, Janna mendedahkan dia perlu berehat daripada media sosial berikutan masalah gangguan mental bipolar yang dihadapinya.

Gangguan mental yang dialami pelakon itu juga hampir meragut nyawanya sendiri apabila pernah dua kali membuat percubaan membunuh diri pada usia 14 dan 15 tahun.

Menurut Dini, melihat keadaan kesihatan Janna yang tidak menentu, dia kini sudah  tahu untuk mengendalikannya. 

"Apabila dia tertekan, saya cakap apapun tidak akan masuk dalam kepalanya dan ia waktu paling susah. Jika berada dalam keadaan itu, saya biarkan Janna meluahkan emosi. Jika Janna menangis, saya biarkan sahaja.

"Saya tak boleh nasihatkan dia jangan menangis kerana ia tidak membantu. Jika saya cakap banyak, takut Janna rasa semak. Apabila keadaan kembali tenang, barulah saya cuba mengaturkan temujanji dan membawanya bertemu doktor psikiatri," katanya

Untuk rekod, Dini dan pelakon drama Syurga Nur itu mula menjalin hubungan cinta sejak Jun 2019.

 

#kw Dini

#loc Kuala Lumpur

 

Ends/

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 1:58 PM