Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Pelakon Janna Nick tidak menjangka meraih kemenangan dalam kategori Pengacara TV Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 34 (ABPBH 34).

Janna menewaskan empat calon hebat lain iaitu Azira Shafinaz, Jihan Muse, Mira Filzah dan Sherry Alhadad.

Menurut Janna, kejayaan itu hasil kerja keras kelab peminatnya Jannanickers yang mengundinya.

"Pesaing saya hebat semuanya termasuk Sherry. Ini kali pertama saya menang kategori pengacara. Dengan rendah hati saya mengakui ada yang lebih layak menang dan saingan sengit pastinya dari Sherry.

"Tapi yang lain pun hebat juga termasuk Azira yang kini memulakan langkah dalam bidang pengacaraan," katanya.

Kemenangan itu turut diraikan bersama kekasihnya Dini Schatzman yang hadir menemaninya ke malam kemuncak ABPBH 34.

Dini mengakui berbangga dengan kejayaan kekasihnya itu. 

 Dalam perkembangan lain, Janna kini terbabit dengan penggambaran drama Shakira bergandingan dengan Shukri Yahaya untuk slot Akasia TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 11:09 PM