TAMAN Sri Muda menduduki tempat pertama dari segi transaksi hartanah jenis kediaman di Selangor. FOTO Arkib NSTP
TAMAN Sri Muda menduduki tempat pertama dari segi transaksi hartanah jenis kediaman di Selangor. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Banjir luar biasa yang menenggelamkan sebahagian besar kawasan di Lembah Klang terutama Selangor baru-baru ini akan memberi kesan ketara kepada harga pasaran hartanah di lokasi terjejas untuk jangka masa pendek.

Penganalisis hartanah, Faizul Ridzuan berkata, terdapat dua kemungkinan akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menurutnya, ia termasuk kediaman yang jarang dilanda banjir namun dilanda bencana itu susulan perubahan cuaca semasa.

"Lokasi hartanah yang tidak pernah mengalami banjir teruk namun terjejas antaranya Taman Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat, Selangor akan menerima kesan 'harga' antara dua hingga tiga tahun akan datang.

"Besar kemungkinan tiada langsung kenaikan harga (hartanah) atau harga akan jatuh sedikit kira-kira 10 peratus. Selepas tempoh itu (dua ke tiga tahun) harganya akan stabil semula apabila orang sudah mula lupa (tragedi).

"Nasihat saya, jangan jual sekarang kerana permintaan sedang rendah disebabkan sentimen banjir itu. Masa terbaik sekiranya mahu menjual kediaman adalah selepas tiga tahun nanti," katanya kepada Harian Metro.

Berbanding hartanah yang sudah diketahui kerap berlaku banjir, Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital itu berkata, harganya memang sedia murah berbanding nilai pasaran semasa.

"Hartanah yang memang kerap banjir contohnya di kawasan Kemaman, Terengganu, memang sedia murah. Harganya di bawah nilai pasaran berbanding kawasan sekitar yang tidak dilanda banjir.

"Satu lagi keadaan, kita dapati hartanah di kawasan majoriti 'projek perumahan baharu seperti Dengkil, Cyber South, Putrajaya dan Cyberjaya tidak mengalami banjir walaupun terletak bersebelahan tasik, sungai atau takungan air.

"Jarang berlaku banjir atau tidak mengalami banjir baru-baru ini kerana sistem perparitan mereka lebih baik berbanding kawasan perumahan lama di Dengkil yang dinaiki air susulan sistem perparitan lama," katanya.

Beliau berkata, susulan situasi itu, akan wujud peningkatan dari segi harga dan permintaan kepada hartanah kategori baharu atau siap dalam tempoh kurang 10 tahun akan datang.

"Ini kerana pembeli akan memilih hartanah yang tidak berdepan masalah banjir seperti mana yang berlaku pada bencana banjir 18 Disember tahun lalu," katanya.

Ada rekod namun tetap jadi pilihan

Beberapa kawasan di Selangor yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini tersenarai dalam kedudukan lokasi hartanah paling laku dan menjadi pilihan pada 2019 dan 2020.

Lebih mengejutkan, Taman Sri Muda yang teruk dilanda banjir kali ini menduduki tempat pertama dari segi transaksi hartanah jenis kediaman di Selangor.

Data dikeluarkan Brickz.my itu mengukur transaksi kediaman jenis teres di Shah Alam dari pasaran sekunder bermula September 2019 hingga Ogos 2020.

Daripada 440 transaksi rumah teres di 52 projek, Taman Sri Muda mengutip 61 transaksi jualan diikuti Bukit Jelutong dan Elmina West masing-masing (44), Kota Kemuning (43), Kemuning Utama (25), Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya (22), Seksyen 27 (16), Seksyen 19 (14) serta Seksyen 28 dan 7 masing-masing (12).

Pengasas Pejuang Hartanah, Ahyat Ishak berkata, data berkenaan menunjukkan faktor utama pembelian kediaman bukan sepenuhnya bergantung kepada kesan banjir malah tiada data khusus konkrit untuk membuktikan prestasi hartanah di kawasan banjir kurang berbanding kawasan tidak dilanda bencana itu.

AHYAT. FOTO Arkib NSTP
AHYAT. FOTO Arkib NSTP

"Saya dapati Shah Alam bukan pertama kali dilanda banjir malah bencana itu pernah berlaku pada 1995, 2006, 2015 dan banjir terburuk baru-baru ini.

"Namun, apabila saya tengok data (Brickz.my) antara lokasi 10 teratas paling laku ialah Taman Sri Muda, TTDI Jaya dan Bukit Jelutong yang mana jalan menuju ke lokasi itu hampir setiap tahun akan dinaiki air terutama ketika air pasang besar atau hujan berlebihan, tetapi transaksinya tetap paling banyak.

"Tidak dinafikan apabila membeli hartanah faktor perlu dilihat ialah sama ada kawasan itu banjir atau tidak, tetapi ia bukan satu-satunya faktor utama dan ada banyak lagi aspek lain perlu diambil kira," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, aspek utama perlu dipertimbangkan sebelum membeli kediaman ialah kemampuan membayar balik pinjaman yang diberikan institusi perbankan.

Pemaju perlu ambil pendekatan bijak

Membina infrastruktur lengkap serta menggunakan reka bentuk kediaman bersesuaian dengan risiko dan keadaan bentuk muka bumi adalah model terbaik dalam projek pembangunan hartanah.

Pendekatan bijak diambil pihak pemaju itu mampu mengatasi risiko kerosakan harta benda disebabkan bencana termasuk banjir.

Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail berkata, isu lokasi bukanlah satu-satunya faktor dalam sesebuah projek pembangunan, namun reka bentuk bangunan dan kaedah pembinaan perlu sesuai untuk menghadapi situasi kemungkinan bencana alam berlaku di kawasan berkenaan.

"Pembinaan rumah hendaklah sesuai dengan keadaan tapak dan sudah pasti jika pembinaan dibuat di tanah rendah yang berisiko banjir reka bentuk bangunan hendaklah dibuat bersesuaian dengan risiko di kawasan itu.

"Kita ambil contoh, pembinaan model rumah di kebanyakan tempat berisiko banjir di negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu yang kerap dilanda banjir pada Disember sejak tahun 60-an lagi.

"Semua penduduk di kawasan berisiko membina rumah mereka di atas tiang tinggi berukuran 3 meter atau lebih daripada itu untuk memastikan mereka mampu bertahan dalam keadaan banjir selain menyediakan perahu atau sampan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun beliau berkata, rekabentuk seumpama itu sudah pasti tidak sesuai digunakan untuk pembinaan kediaman di kawasan bandar seperti rumah teres namun pembangunan perumahan memerlukan perancangan secara menyeluruh untuk mengadaptasi keadaan sekiranya banjir berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 12:00 PM