Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri dan Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Cadangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk mengkaji semula bahan binaan yang digunakan khususnya di kawasan yang mudah terdedah dengan bencana seperti banjir adalah bertepatan dan disambut baik pemain industri.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor (PPHBS), Mohammad Sahar Mat Din berkata, CIDB dan penyelidik seharusnya mengambil langkah proaktif dalam memastikan bahan yang digunakan dalam pembinaan mempunyai tahap ketahanan tinggi.

“Ini bukan saja membabitkan peranan CIDB dan penyelidik, malah semua pihak dalam industri pembinaan perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian bersama.

“Ini kerana usaha yang dilakukan CIDB mungkin tidak menampakkan hasil jika tidak mendapat kerjasama daripada kontraktor tempatan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, sudah tiba masanya semua pihak memikirkan cara yang lebih ke hadapan untuk mengatasi masalah kemusnahan kediaman, bangunan dan infrastruktur awam akibat bencana banjir.

“Dalam kejadian banjir di pantai timur, baru-baru ini, bangunan setinggi empat tingkat juga tenggelam dan bukan lagi menjadi lokasi selamat untuk penduduk setempat.

“Maka, CIDB dengan bantuan penyelidik perlu memperkenalkan kaedah pembinaan baru bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, kaedah ‘menyelamatkan’ kediaman khususnya di kawasan banjir sudah dilakukan sejak puluhan tahun lalu dan ia boleh digunakan dengan sedikit penambahbaikan.

“Sebagai contoh, kediaman di kampung berpuluh tahun lalu yang dibina berhampiran sungai mempunyai tiang yang tinggi.

“Malah, mereka juga mempunyai sistem sokongan untuk menambat rumah supaya ia tidak hanyut serta setiap kediaman mempunyai sampan bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya.

Mohd Sahar berkata, kaedah berkenaan boleh dibangunkan semula dengan penambahbaikan dari aspek teknologi agar ia lebih bersifat mapan dan pada masa sama mempunyai kos pembinaan yang munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:13 AM