DR Muhammad Najib
DR Muhammad Najib
RAMAI pihak kurang sedar kepentingan memiliki perlindungan kediaman, bangunan.
RAMAI pihak kurang sedar kepentingan memiliki perlindungan kediaman, bangunan.
Nurul Husna Mahmud


DI negara ini, kesedaran memiliki insurans bagi perlindungan hartanah dan harta benda masih berada pada tahap yang rendah. Ini kerana kerajaan tidak mewajibkan pemilik rumah memiliki insurans hartanah.

Menurut Pengarah Harta Tanah Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Najib Razali, berbanding melanggan insurans untuk tujuan pembelian kereta dan motor, ramai mengambil mudah perihal insurans bagi kediaman mahupun bangunan.

Sebagai contoh, insurans kebakaran membabitkan kediaman dan bangunan, sehingga tahun lalu ia hanya mencatatkan pertumbuhan rekod hampir 20 peratus untuk pendapatan keseluruhan premium terbabit.

"Rumah antara aset paling bernilai tinggi dan mempunyai harta benda di dalamnya. Jika dinilai aspek kediaman yang menjadi nadi penting dalam pembinaan institusi keluarga dan melindungi penghuninya, pemiliknya perlu memiliki insurans sebagai jaringan keselamatan atau persiapan kewangan apabila berlaku insiden luar jangka.

"Apatah lagi pemilik itu menyedari rumah mereka mempunyai risiko yang tinggi dan kerap berdepan bencana alam, memiliki insurans dan premium tambahan sudah beralih kepada suatu keutamaan," katanya.

Kata pakar itu, kesedaran pemilik rumah hanya timbul apabila menyedari risiko atau insiden berlaku sehingga menjejaskan keselamatan hartanah.

"Masyarakat tidak begitu fokus dengan risiko terutama bencana kerana ketika membeli rumah, aspek yang sering diambil kira ialah lokasi dan faktor kewangan.

"Justeru, langkah yang perlu diambil selepas membeli rumah ialah meminimakan impak kerugian atau kesan kemusnahan akibat bencana alam dengan mengambil insurans tambahan bagi melindungi hartanah dan harta benda masing-masing.

PERLU teliti setiap dokumen atau polisi.
PERLU teliti setiap dokumen atau polisi.

"Tambahan pula, melihat perkembangan dihadapi kebanyakan pemilik rumah ketika ini iaitu pada musim hujan apabila banyak kawasan rumah terjejas akibat bencana seperti banjir lumpur dan tanah runtuh. Mereka perlu sedar keperluan melindungi hartanah.

"Pelbagai pakej ditawarkan dengan nilai yang berpatutan berbanding dengan nilai kerugian yang terpaksa ditanggung pemilik," katanya.

Tambah Dr Muhammad Najib, perlindungan hartanah diinsuranskan ketika ini banyak dimiliki pemilik rumah ialah hanya bagi tujuan melindungi pinjaman hartanah iaitu lebih dikenali dengan Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) dan Mortgage Level Term Assurance (MLTA).

"Insurans ini akan memberi perlindungan jika berlaku sesuatu kepada individu seperti kemalangan mengakibatkan hilang upaya. Ini termasuk jika berlaku kematian.

"Perlindungan insurans untuk melindungi pinjaman perumahan dan harta tanah atau harta benda adalah sesuatu yang berbeza" katanya.

Beliau menyatakan ada tiga jenis perlindungan insurans hartanah dan termasuk harta benda iaitu:

INSURANS kebakaran juga boleh dikembangkan kepada bencana lain.
INSURANS kebakaran juga boleh dikembangkan kepada bencana lain.

1. Polisi insurans kebakaran

Polisi ini hanya akan melindungi bangunan itu sahaja tidak termasuk harta benda dalam bangunan terbabit.

2. Polisi insurans isi rumah

Polisi ini akan melindungi harta benda yang termasuk dalam skop polisi insurans terbabit.

3. Polisi insurans tuan rumah

Polisi ini akan memberi perlindungan tambahan daripada polisi kebakaran kepada tuan rumah seperti dinding, atap, struktur, lantai dan lain-lain daripada kejadian bencana alam seperti banjir, kebakaran, paip pecah dan kejadian lain yang memberi impak negatif kepada rumah.

BANJIR antara bencana boleh menyebabkan kerosakan pada rumah dan harta benda.
BANJIR antara bencana boleh menyebabkan kerosakan pada rumah dan harta benda.

Selain itu, terdapat tanggungjawab untuk menasihat dan menyediakan perlindungan insurans khusus untuk harta tanah strata di bawah amalan profesional pengurusan harta tanah seperti dalam peruntukkan dalam Akta Pengurusan Strata 2012 (Akta 757).

Sementara itu, Perunding Kewangan Islam Ieza Yusof Consultancy Sdn Bhd, Aminah Heng Kamal Koh pula berkata, penting pemilik polisi insurans atau takaful hartanah memiliki sifat ambil tahu terutama membabitkan terma terdapat dalam premium atau polisi perlindungan hartanah terbabit.

"Setiap syarikat ada syarat dan terma tertentu yang dinyatakan dalam polisi. Ia berbeza mengikut nilai, jenis perlindungan dan individu.

"Insurans atau takaful hartanah dan harta benda adalah perlindungan yang tergolong dalam insurans am dan ia berbeza dengan insurans nyawa dan kenderaan.

"Tetapi, dalam mana-mana prosedur melanggan insurans, pemilik polisi atau insurans kena teliti setiap klausa yang termaktub dalam polisi. Tidak hanya lihat jumlah, tetapi perlu lihat jenis, siapa dan bagaimana perlindungan itu dilakukan.

TANAH runtuh antara risiko dihadapi pemilik kediaman.
TANAH runtuh antara risiko dihadapi pemilik kediaman.

"Sebagai contoh beli rumah ada melanggan insurans atau takaful kebakaran. Jika bencana berlaku, pihak insurans akan teliti sama ada jenis kemalangan atau punca kebakaran itu menepati perkara yang dinyatakan dalam klausa terbabit termasuk bencana lain seperti banjir," katanya.

Selain itu, tempoh dan nisbah pembahagian nilai perlindungan juga perlu diteliti terutama bagi milikan lebih daripada seorang kerana terdapat perbezaan dalam penawaran oleh syarikat insurans yang terbabit.

"Proses tuntutan menjadi mudah apabila pemilik rumah faham dan mengetahui setiap terma dalam perlindungan insurans atau takaful hartanah atau harta benda. Lebih rumit jika penama untuk hartanah itu bukan tunggal.

"Teliti dokumen atau polisi jika ia dinyatakan bagi kedua-dua penama atau hanya salah seorang dinyatakan dalam polisi perlindungan terbabit. Ini termasuk bagi insurans perlindungan pinjaman hartanah.

"Ketika tuntutan juga, penting setiap pemilik insurans memastikan segala dokumentasi lengkap termasuk dokumen sokongan terutama membabitkan kes bencana atau kebakaran oleh agensi yang terbabit supaya dapat mengukuhkan pembuktian bagi membantu tuntutan pemilik rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:20 AM