PENYUSUTAN nilai hartanah berlaku berikutan pembeli elak melabur atau membeli aset di kawasan yang dikenal pasti berada dalam zon bencana.
PENYUSUTAN nilai hartanah berlaku berikutan pembeli elak melabur atau membeli aset di kawasan yang dikenal pasti berada dalam zon bencana.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pemilik hartanah di kawasan yang sering dilanda bencana seperti banjir, khususnya di beberapa lokasi di pantai timur berdepan pelbagai masalah serta dilema yang mana nilai hartanah mereka adakalanya menyusut sehingga 30 peratus.

Penyusutan nilai hartanah itu berlaku berikutan pembeli mengelak untuk melabur atau membeli aset di kawasan yang dikenal-pasti berada dalam zon bencana.

Beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu antara yang mengalami penyusutan nilai berkenaan dan jalan terbaik kepada pemilik hartanah adalah membuat penjualan serta mencari lokasi baharu.

Penganalisis Hartanah dan Pensyarah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak, Dr Azizul Azli Ahmad menyatakan bahawa susut nilai itu tidak dapat dielak pemiliknya.

Menurut Azizul Azli, sektor hartanah ini banyak bergantung kepada permintaan serta penawaran. Namun, pembeli akan mengelak untuk melakukan sebarang pembelian di kawasan yang dikenal-pasti sebagai 'kawasan merah bencana.'

"Contoh, jika nilai rumah di kawasan itu ialah RM300,000, ia mungkin akan susut kepada RM250,000 atau lebih rendah lagi jika kawasan berkenaan tidak mengalami perubahan dalam aspek naik taraf pengurangan risiko bencana.

"Seperti yang kita tahu, Kelantan dan Terengganu sememangnya kawasan banjir bermusim, terutamanya pada penghujung tahun dan kebanyakan kawasan di negeri berkenaan berisiko banjir.

"Situasi berbeza di Raub, Pahang atau di beberapa lokasi lain apabila kawasan berkenaan bukan lokaliti biasa untuk banjir. Namun, penyusutan nilai hartanah di kawasan itu akan berlaku," katanya.

Menurut Azizul Azli, agak sukar untuk membuat anggaran nilai sebenar penyusutan nilai berkenaan. Namun, jika melihat kepada peratusan, susut nilai hartanah ini akan berlaku sekitar 10 hingga 30 peratus.

Beliau berkata, ini adalah situasi yang tidak boleh dielakkan oleh pemilik hartanah.

"Bagaimanapun, penjualan aset di kawasan risiko bencana alam ini tidak mudah kerana kebanyakan potensi pembeli sudah mengetahui berhubung risiko sesuatu kawasan berkenaan.

"Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pemilik aset, sama ada mereka terus tinggal di kawasan itu dan berisiko tinggi untuk kerugian puluhan ribu lagi atau menjual pada harga di bawah kadar pasaran," katanya.

Menurutnya, susut nilai hartanah ini tidak hanya tertumpu kepada bencana banjir saja sebaliknya untuk semua jenis bencana alam seperti tanah runtuh, pergerakan tanah, tanah jerlus dan sebagainya.

Kata Azizul Azli, semua kawasan yang berada di dalam zon bencana alam atau terletak hampir dengan lokasi bencana mempunyai risiko untuk susut nilai walaupun keadaan itu tidak bersifat kekal.

"Penduduk di kawasan yang sering mengalami banjir ini perlu bertindak dengan mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa untuk menaik taraf sistem perparitan, saliran atau tebatan banjir supaya membolehkan nilai hartanah di kawasan itu kembali normal.

"Nilai hartanah di kawasan seperti ini sukar untuk naik. Sama ada kadar itu tetap pada tahap tertentu atau ia akan mengalami penurunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 6:45 AM