MUHAMMAD Nordin ketika menjadi wali kakaknya dan gambar kenangan perkahwinan Siti Nurul Asyiqin serta sumi Muhammad Atiqi Ghazali. FOTO Ihsan Siti Nurul Asyiqin
MUHAMMAD Nordin ketika menjadi wali kakaknya dan gambar kenangan perkahwinan Siti Nurul Asyiqin serta sumi Muhammad Atiqi Ghazali. FOTO Ihsan Siti Nurul Asyiqin
Murnaena Muhammad Nasir


Kota Bharu: "Sehari sebelum kahwin, adik memang gugup sehingga tidak lalu makan dan tidur kerana memikirkan tanggungjawab yang perlu dipikul untuk menjadi wali pernikahan saya," kata Siti Nurul Asyiqin Mat Nadi.

Siti Nurul Asyiqin, 23, memberi reaksi itu selepas perkongsiannya mengenai kesungguhan adik lelakinya, Muhammad Nordin Mustaqim, 16, menjadi walinya tular dan mendapat perhatian warganet di aplikasi TikTok.

Dia yang juga anak kedua dari empat beradik berkata, pemilihan adik lelaki bongsunya sebagai wali pernikahannya dibuat secara mengejut, selepas arwah bapanya, Mat Nadi Mohammad, 53, meninggal dunia 18 Jun lalu.

"Mengikut perancangan awal, bapa saudara yang akan jadi wali tetapi setelah merujuk jurunikah adik yang lebih layak kerana mengikut tertib susunan wali.

"Dia (adiknya) tahu bakal jadi wali tiga minggu sebelum tarikh pernikahan kami pada 19 Oktober lalu dan mengambil masa juga untuk setuju sepenuhnya kerana tidak yakin dan takut," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia bersyukur proses pernikahannya berjalan lancar dan berterima kasih kepada adik lelakinya atas kesungguhan serta keberaniannya menggalas tanggungjawab menggantikan arwah bapanya.

"Dalam tempoh pertunangan kami sejak Mac lalu, suami, Muhammad Atiqi Ghazali, 23, banyak beri sokongan kerana suami juga senasib sama-sama sudah kehilangan ayah.

"Rasa sedih kehilangannya itu juga membuatkan saya terpaksa tangguh pernikahan lebih tiga bulan," katanya.

Siti Nurul Asyiqin berkata, dia juga tidak menyangka perkongsiannya di aplikasi TikTok yang dimuat naiknya semalam mendapat perhatian warganet sehingga ditonton hampir 500,000 kali setakat ini.

"Sebenarnya saya baru ada kekuatan untuk berkongsi di media sosial selepas melihat gambar majlis pernikahan, saya berharap perkongsian itu dapat dijadikan contoh kepada adik beradik lelaki lain di luar sana.

"Di dalam Islam adik beradik lelaki mempunyai tanggungjawab besar terhadap ibu, bapa dan adik beradik perempuan walaupun sudah berkahwin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 8:20 PM