Syaza Syafiqah bersama ibu dan arwah bapanya, Abd Rahim. FOTO Ihsan Syaza Syafiqah Abd Rahim
Syaza Syafiqah bersama ibu dan arwah bapanya, Abd Rahim. FOTO Ihsan Syaza Syafiqah Abd Rahim
Redzuan Muharam


“IKUTKAN memang sedih kerana ayah sepatutnya menjadi wali akad nikah esok tapi kami reda dengan pemergiannya,” kata juruteknik, Syaza Syafiqah Abd Rahim.

Syaza Syafiqah yang menetap di Kajang, Selangor memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi lebih lanjut mengenai ciapan dimuat naik di Twitter, kelmarin.

Menerusi ciapan itu, Syaza Syafiqah, 23, meluahkan kesedihan kerana arwah bapanya, Abd Rahim Othman, 59, tidak sempat mewalikannya selepas meninggal dunia Selasa lalu akibat masalah tekanan darah tinggi.

Lebih membuatkannya terkesan adalah kerana arwah bapanya dijemput Ilahi empat hari sebelum majlis pernikahannya dengan bakal suami, Muhammad Asyraf Saparijan, 26.

Sehingga kini, ciapan itu mendapat 11,200 tanda suka dan 5,600 ulang ciap dengan kebanyakan warganet mendoakan Syaza Syafiqah tabah menerima pemergian arwah bapanya.

Bercerita lanjut, dia berkata, arwah bapanya insan yang paling bersemangat membantunya membuat persiapan menjelang majlis pernikahannya sejak hujung tahun lalu lagi.

“Sejak dulu lagi, saya rapat dengan arwah ayah dan sering mengikutnya ke mana saja termasuk ke tapak niaga nasi lemak pada setiap pagi.

“Apabila saya membawa bakal suami ke rumah tahun lalu, arwah ayah tiada halangan malah tidak lama selepas majlis pertunangan, dia terus membuat tempahan dewan melangsungkan majlis dan makanan dengan katering kerana enggan berdepan masalah pada saat akhir.

“Namun, ayah tiba-tiba jatuh sakit Selasa lalu dan dia dimasukkan ke Hospital Kajang pada tengah hari sebelum menghembuskan nafas 8.20 malam hari sama.

“Sedih rasanya kerana ayah sepatutnya menjadi wali dan hasratnya untuk melihat saya bergelar isteri tidak kesampaian,” katanya ketika dihubungi.

Pada mulanya, Syaza Syafiqah terfikir untuk menunda majlis pernikahan pada hari lain kerana memikirkan perasaan ibu, Roslawati Md Samad dan ahli keluarga yang masih bersedih.

Namun, majlis yang dirancang diteruskan selepas berbincang dengan ahli keluarga kerana sudah mengedarkan kad jemputan kepada tetamu yang terdiri daripada rakan dan saudara mara.

“Ujian ini amat berat untuk diterima hingga saya terfikir membatalkan majlis pernikahan tetapi atas nasihat keluarga, ia diteruskan seperti dirancang dengan berwalikan bapa saudara yang juga abang arwah ayah, Roslan Othman, 63.

“Lagipun, majlis ini juga diteruskan bagi meneruskan niat arwah ayah untuk menjamu tetamu,” katanya.

Mengenai kisahnya yang tular di laman sosial, Syaza Syafiqah berkata, dia tidak menyangka perkongsiannya di Twitter mendapat perhatian warganet.

“Perkongsian saya itu sekadar curahan hati saya kepada arwah ayah dan tak sangka banyak maklum balas diterima.

“Terharu rasanya kerana ramai mendoakan arwah serta memberi sokongan dan saya amat menghargainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 10:19 PM