MIQAILA Afieya bermain permainan perabot yang dihasilkan ibunya. FOTO Ihsan Siti Aishah Bahagia
MIQAILA Afieya bermain permainan perabot yang dihasilkan ibunya. FOTO Ihsan Siti Aishah Bahagia
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Selangor: Kreativiti seorang ibu ini menarik perhatian warganet selepas perkongsiannya di aplikasi TikTok membina meja alat solek mainan untuk anaknya tular.

Siti Aishah Bahagia, 33, berkata, pada awalnya dia tidak merancang untuk membina satu set permainan dapur untuk anaknya Miqaila Afieya Abdullah, yang berusia setahun tiga bulan.

Tetapi katanya, Miqaila Afieya suka bermain permainan dapur jika mereka berkunjung ke rumah kawannya.

"Saya tengok dia suka pula bermain di situ dan saya terfikir nak beli sahaja. Namun, melihat pada harga saya tengok macam mahal.

"Kalau belikan yang kecil sahaja, harganya pun macam kalau cari mainan yang betul-betul kukuh dan Miqaila (anak) campak sahaja," katanya, ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

SITI Aishah bersama anaknya Miqaila Afieya. FOTO Ihsan Siti Aishah Bahagia
SITI Aishah bersama anaknya Miqaila Afieya. FOTO Ihsan Siti Aishah Bahagia

Menurutnya, dia hanya menggunakan bahan seperti kotak sebagai rangka perabot mainan berkenaan dan dihiasi dengan kertas dinding dan mainan yang dibeli di kedai serbaneka untuk membuat perabot permainan anaknya itu.

Katanya, perabot mainan ini boleh disiapkan dalam masa sehari sekiranya diberikan tumpuan yang penuh.

"Namun, meja alat solek memang saya fokus buat waktu sahur sahaja sebab kalau ada anak, memang tidak dapat beri tumpuan.

"Meja mekap ini saya siapkan dalam masa tiga hari, sebab buat tidak fokus betul.

"Saya tempatkan permainannya di ruang tamu buat masa sekarang dan bila saya memasak, saya boleh nampak dia di kawasan mainan dari dapur rumah," katanya.

Siti Aishah yang dihubungi dari Kuala Selangor, berkata, dia sebagai ibu seronok dapat menyediakan permainan itu kerana Miqaila Afieya adalah anak yang pertama.

Katanya, dia turut merancang untuk membina rak mainan berlaci dalam masa terdekat ini, selain mendapat pelbagai ilham daripada warganet untuk membina peti ais dan sebagainya.

Menurutnya, aplikasi YouTube dan Pinterest banyak membantu dalam membina mainan dari segi corak dan struktur pembinaan dengan hanya menggunakan kotak dan gam sahaja.

Perkongsiannya di akaun TikTok mendapat pelbagai reaksi yang positif dan salah satu videonya mendapat lebih dari 95 ribu tontonan dan hampir 10 ribu tanda suka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 10:55 PM