WAN Siti Aisyah Wan Khairuzzaman, 21, menunjukkan surat mahkamah sambil merayu bapa saudaranya, Wan Kamarul Bahrin Wan Yusof tampil menjadi wali pernikahannya pada 25 Januari ini. FOTO Malik Muhamad
WAN Siti Aisyah Wan Khairuzzaman, 21, menunjukkan surat mahkamah sambil merayu bapa saudaranya, Wan Kamarul Bahrin Wan Yusof tampil menjadi wali pernikahannya pada 25 Januari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


GADIS yang kematian bapa, mencari bapa saudaranya bagi tujuan menjadi wali pernikahannya.

Wan Siti Aisyah Wan Khairuzzaman, 21, kini resah resah menunggu detik bahagianya apabila bapa saudaranya, Wan Kamarul Bahrin Wan Yusof, 50-an gagal dikesan.

Siti Aisyah berkata, sepanjang hidupnya dia tidak pernah mengenali dan berjumpa bapa saudaranya itu yang dikatakan berasal dari Kelantan.

Menurut Siti Aisyah yang berasal dari kampung Bukit Kecil Merchang, dekat Marang, pihak mahkamah memberi tempoh selama dua minggu kepadanya untuk mengesan bapa saudaranya sebelum majlis pernikahannya yang dirancang pada 25 Januari ini.

“Saya buntu untuk mencari bapa saudara kerana tidak mengetahui lokasinya dan tidak pernah berjumpa, malah gambar pun tidak ada, hanya saya dimaklumkan oleh ibu dia berasal dari Kelantan, tetapi sukar untuk saya mencarinya.

“Mahkamah memberi tempoh sehingga 22 Januari ini untuk mengemukakan wali, saya berharap jika dia masih ada dan membaca akhbar ini dia dapat hadir di Merchang sebelum tarikh itu sebagai wali pada majlis pernikahan nanti.

“Saya juga merayu jika sesiapa yang mengenalinya supaya dapat berhubung dengan kami serta datang ke kampung kami atau di Masjid Kampung Merchang,” katanya.

Wan Aisyah anak keempat daripada lima beradik berkata, dia kini tinggal bersama ibunya, Noriah Zakaria, 52 serta bapa tirinya, Mohamed Nor Saamah, 81, di kampung berkenaan selepas kematian bapanya lima tahun lalu.

“Bapa saya, Wan Khairuzzaman Wan Yusof berasal dari Kota Bharu, Kelantan, begitu juga dengan Wan Kamarul Bahrin, namun saya tidak mengenali saudara atau adik-beradik di sebelah bapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 11:35 AM