FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Seorang remaja di Indonesia sempat melangsungkan akad nikah dengan pasangannya sebelum dimasukkan ke lokap akibat disyaki terbabit dengan kes curi.

Tribunnews melaporkan lelaki berusia 19 selamat diijabkabulkan dengan kekasihnya yang sebaya, kira-kira 9 pagi, Jumaat lalu.

Upacara pernikahan diadakan di masjid yang terletak bersebelahan dengan Balai Polis Medan Timur.

Majlis akad nikah serba ringkas itu dihadiri ahli keluarga terdekat kepada kedua mempelai.

Ibu kepada remaja lelaki itu menangis kerana terharu menyaksikan majlis pernikahan anaknya.

Sebagai tanda ikatan suami isteri, lelaki itu menyerahkan mas kahwin iaitu wang tunai kepada isterinya.

"Saya serahkan mas kahwin pernikahan kita pada hari ini berupa wang tunai berjumlah 100,000 rupiah (kira-kira RM29.05) kerana Allah," katanya,

Pengantin perempuan menzahirkan kesyukuran selepas menerima mas kahwin pemberian suaminya itu.

"Saya terima mas kahwin 100,000 rupiah kerana Allah," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Balai Medan Timur, Muhammad Arifin memaklumkan persediaan untuk majlis pernikahan pasangan itu sudah lama dilakukan.

Justeru, katanya, majlis terpaksa diadakan di masjid dekat balai polis kerana remaja itu disyaki terbabit kes kecurian dan kekerasan.

"Kita baru saja melakukan mediasi. Disebabkan pengantin lelaki disyaki terbabit dalam kes curi, maka pernikahan dilakukan di masjid sebelah bersebelahan balai polis," katanya.

Sebaik selesai akad nikah, remaja itu diiringi oleh isterinya untuk kembali ke lokap.

Keduanya kelihatan berpimpin tangan ketika memasuki balai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 6:30 AM