MASJID di seluruh Melaka sudah dibenarkan menganjurkan majlis pernikahan mulai esok. FOTO Hassan Omar
MASJID di seluruh Melaka sudah dibenarkan menganjurkan majlis pernikahan mulai esok. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) hari ini membenarkan pasangan pengantin bernikah di masjid mulai esok berbanding sebelum ini akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Che Shukri Che Mat berkata, selain masjid, pasangan juga dibenarkan bernikah di pejabat agama Islam daerah (Paid) atau lokasi lain yang ditetapkan Paid.

Bagaimanapun, kehadiran dalam majlis nikah tidak boleh lebih daripada tujuh orang dan tidak lebih 15 minit, termasuk khutbah nikah dan lafaz taklik.

Selain itu, pengantin lelaki dan perempuan, wali dan anggota keluarga yang menghadiri majlis itu diwajibkan menjalani ujian calitan sama ada di klinik kerajaan atau swasta, tiga hari sebelum majlis pernikahan.

"Salinan bercetak keputusan negatif ujian itu harus dikemukakan kepada jurunikah sebelum majlis bermula.

"Hanya mas kahwin dan dokumen berkaitan nikah yang dibenarkan dibawa ke majlis itu, selain pengantin perempuan serta walinya harus sudah berada di lokasi nikah 15 minit sebelum majlis pernikahan," katanya pada kenyataan di sini.

Beliau berkata, jurunikah wajib menangguhkan pernikahan jika masjid itu terletak dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) atau masjid diarahkan ditutup berikutan kerja sanitasi disebabkan ada kes positif Covid-19.

Menurut Che Shukri, majlis pernikahan harus dijalankan dalam ruang yang selesa bagi membolehkan penjarakan fizikal dan hadirin digalakkan memakai dua lapis pelitup muka.

Pengurusan masjid dan petugas Paid juga harus mensanitasi peralatan yang digunakan dalam majlis nikah, termasuk pen serta peralatan lain sebelum dan selepas majlis berkenaan.

"Mereka yang positif Covid-19, bergejala, Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) atau Pesakit Dalam Siasatan (PUI) tidak dibenarkan hadir dalam majlis itu.

"Jurunikah wajib menangguhkan majlis pernikahan jika pengantin lelaki, perempuan serta wali gagal mematuhi peraturan berkenaan," katanya.

Selain itu, jurunikah juga diminta memaklumkan kepada balai polis berhampiran berkaitan majlis pernikahan untuk tujuan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 2:17 PM