Pendakwa terkenal Indonesia, Yusuf Mansor dikecam netizen kerana memilih penderma darahnya daripada orang soleh saja.
Pendakwa terkenal Indonesia, Yusuf Mansor dikecam netizen kerana memilih penderma darahnya daripada orang soleh saja.
Agensi

Jakarta: Seorang pendakwah terkenal Indonesia, Yusuf Mansur dikecam hebat netizen kerana hanya mahukan seorang hafiz al-Quran sebagai penderma darah untuknya.

Portal Detik melaporkan dia dirawat di Hospital Pusat Angkatan Darat (RSPAD) Gatot Soebroto kerana paras hemoglobin dan tekanan darah rendah.

Menerusi kenyataannya, dia bersyukur kerana mendapat penderma darah daripada orang alim.

"Ini lagi proses derma darah. Barisan penderma yang soleh-soleh, dah siap diproses dan disaring pagi ini," tulis Yusuf Mansur di akaun Instagramnya.

Bagaimanapun, kenyataan itu dikecam netizen dan disifatkan sombong dan angkuh kerana memilih hanya orang alim saja boleh menderma darah untuknya.

Dalam hantaran lain, Yusuf Mansur menulis seramai 10 orang hafiz yang sudah dipilih untuk mendermakan darah kepadanya dan individu yang terpilih adalah Syekih Baleid yang juga seorang penderma darah dari Maghribi.

Menerusi Instagramnya, pendakwah itu memuat naik video dirinya yang sedang terbaring dan memaklumkan mengenai keadaan kesihatannya.

"Dengan izin Allah SWT, hemoglobin saya masih (di paras) lima. Sangat rendah namun masih hidup.

"Saya dibantu rakan dan pasukan doktor yang luar biasa. Barisan penderma darah juga yang soleh-soleh. Alhamdulillah ada 10 orang dan yang terbaik akan dipilih," katanya.

Netizen rata-ratanya meninggalkan komen dengan mengatakan mereka tidak bersetuju dengan kaedah 'pemilihan' penderma yang dibuat ustaz itu.

"Pemindahan darah juga mahu pilih yang sama beriman," tulis seorang netizen.

"Di sinilah saya melihat kebesaran Allah. Saya tahu saya banyak dosa namun Allah memberikan saya kesempatan untuk mendapatkan darah daripada orang terbaik di bumi, dengan izin-Nya," tulisnya.

Yusuf berkata, ada hikmah di sebalik sakit yang dialaminya ketika ini.

"Pihak RSPAD memberi kebenaran kepada saya memilih siapa saja orang yang boleh menderma darah untuk saya, dan saya memilih Syeikh Baleid serta tiga lagi rakannya.

"Darah orang soleh, orang baik-baik, yang luar biasa, tentu akan jadi sesuatu yang berpengaruh sekali dalam hidup saya. Sebab pasti setiap sel ada memorinya, ada kenangannya," kata Yusuf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:35 AM