ZAKARIA menerima sijil penghargaan daripada Dr Azhani  (tiga dari kanan) selepas menderma darah kali ke-200 di Unit Tabung Darah, semalam.
ZAKARIA menerima sijil penghargaan daripada Dr Azhani (tiga dari kanan) selepas menderma darah kali ke-200 di Unit Tabung Darah, semalam.
Ahmad Rabiul Zulkifli


SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Terengganu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penderma darah tertinggi di Kuala Terengganu.

Lans Koperal Zakaria Omar, 44, dari Kampung Baru Tetambah menderma darah untuk kali yang ke-200 semalam sekali gus menjadi penderma darah tertinggi direkodkan Unit Tabung Darah (UTD) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Zakaria berkata, dia mula menderma darah sejak 1995 selepas mengikuti rakannya ke program derma darah ketika bekerja di Kuala Lumpur sebelum ia menjadi amalan rutinnya.

“Dalam setahun, saya menderma darah empat kali iaitu dalam tempoh tiga bulan sekali sama ada pada program derma darah yang dianjurkan atau ke UTD HSNZ,” katanya.

Turut hadir, Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr Azhani Azmin.

Beliau berkata, amalan menderma darah sebati dengan kehidupannya kerana bukan hanya baik untuk kesihatan tetapi memberi kepuasan apabila membantu mereka yang memerlukan.

“Jika boleh menderma darah setiap bulan, saya berbuat demikian dan berharap umur saya panjang supaya berpeluang menderma darah dengan lebih banyak pada masa akan datang.

“Sekurang-kurangnya sebelum saya meninggal dunia, hati teringin untuk menderma darah 300 kali,” katanya yang turut menerima Sijil Penghargaan Penderma Tertinggi di UTD HSNZ.

Sementara itu, Dr Azhani berkata, 150 penderma tegar menderma darah di UTD HSNZ setiap bulan dengan purata kedatangan penderma di UTD setiap hari ialah anatara 10 hingga 15 orang.

“Kami menyasarkan 30 penderma yang datang ke UTD menderma darah setiap hari tahun hadapan,” katanya.

Katanya, pelbagai program dianjurkan dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan menderma darah.

“Kami menubuhkan Kelab Penderma Darah HSNZ dan disertai 400 ahli. Hasrat kami melahirkan lebih ramai penderma darah tegar untuk menampung keperluan darah di UTD yang semakin meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:30 AM