AZLI menderma darah pada Kempen Derma Darah secara terkawal bersama Jabatan Amal Malaysia Kuala Terengganu (JAMKT). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
AZLI menderma darah pada Kempen Derma Darah secara terkawal bersama Jabatan Amal Malaysia Kuala Terengganu (JAMKT). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


BEKALAN darah di Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu masih mencukupi namun jumlah penderma berkurangan berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Pakar Perubatan Transfusi Perubatan HNSZ, Nor Azhani Azmi berkata, pihaknya terpaksa menjalankan Kempen Derma Darah secara terkawal di semua daerah sepanjang PKP bagi memastikan bekalan darah cukup untuk kegunaan semua hospital di negeri ini.

“Kempen dan program derma darah secara terkawal perlu diadakan dengan lebih giat bagi memastikan bekalan darah sentiasa ada.

“Keperluan dan penggunaan darah diperlukan dalam kadar yang sama setiap hari di HNSZ dan semua hospital di daerah.

“Sebelum Ramadan, kami perlu memastikan bekalan darah dikumpul sebanyak mungkin kerana jumlah penderma dijangka semakin turun sepanjang Ramadan nanti,” katanya ketika ditemui pada Kempen Derma Darah secara terkawal bersama Jabatan Amal Malaysia Kuala Terengganu (JAMKT) di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR), Padang Hiliran, hari ini.

Pada program itu, seramai 55 anggota JAMKT menderma darah bagi memastikan bekalan darah mencukupi bagi kegunaan di hospital sepanjang PKP.

Nor Azhani berkata, orang ramai boleh menderma darah seperti biasa di Unit Tabung Darah HSNZ.

Menurutnya, saringan kesihatan dan Covid-19 akan dijalankan terlebih dahulu sebelum orang ramai dibenar menderma.

“Sepanjang PKP ini, penderma perlu mendaftar melalui dalam talian terlebih dahulu sebelum diberikan tarikh dan waktu menderma.

“Prosedur itu dijalankan bagi memastikan tidak berlaku pertembungan penderma di tempat menderma darah dalam satu masa sejajar dengan larangan PKP.

“Terbaru seramai 130 penderma baru yang mendaftar melalui dalam talian untuk menderma darah di kawasan Kuala Nerus yang akan dijalankan esok,” katanya.

Menurutnya, kerjasama daripada penderma sangat diperlu bagi memastikan kelancaran kempen derma darah secara terkawal yang dianjurkan sepanjang PKP.

“Mereka perlu datang untuk menderma darah pada tarikh dan waktu yang ditetapkan dan penderma yang selesai menderma akan diminta pulang ke rumah masing-masing dengan kadar segera,” katanya.

Sementara itu, Azli Yacob, 32, dari Kampung Losong Haji Syafie berkata, dia pertama kali menderma darah kerana rasa bertanggungjawab untuk memastikan bekalan darah mencukupi.

“Kami sedia maklum dengan penurunan jumlah penderma darah sepanjang PKP dan ia berkemungkinan akan menjejaskan bekalan darah sedia ada.

“Saya berasa teruja kerana dapat membantu dan pengalaman pertama menderma darah tidak seperti yang dibayangkan sebelum ini.

“Harapan saya dapat menderma darah setiap enam bulan sekali selepas ini seterusnya membantu pesakit yang memerlukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 2:05 PM