Pakar Perubatan Transfusi Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Dr Firdaus Che Ros (kiri) menyampaikan cenderahati kepada penderma darah tertinggi Nor Aziman Idris iaitu sebanyak 100 kali menderma darah ketika ditemui Bernama sempena Hari Derma Darah Sedunia di Pusat Derma Darah, hari ini. FOTO BERNAMA
Pakar Perubatan Transfusi Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Dr Firdaus Che Ros (kiri) menyampaikan cenderahati kepada penderma darah tertinggi Nor Aziman Idris iaitu sebanyak 100 kali menderma darah ketika ditemui Bernama sempena Hari Derma Darah Sedunia di Pusat Derma Darah, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Meskipun sudah meninggalkan pasukan pertahanan negara sejak enam tahun lalu, namun seorang bekas tentera di Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion 15, Senawang di sini, tetap mahu berjasa dengan menjadi penderma darah 'tegar'.

Nor Aziman Idris, 48, berkata, detik pendorongnya menderma darah 29 tahun lalu bermula apabila anggota dalam perkhidmatan tentera diwajibkan untuk menderma darah.

"Sejak itu saya tidak pernah terlepas melakukannya setiap tiga bulan sekali," katanya selepas menerima penghargaan platinum di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, tadi.

Malah, bapa lima anak itu memegang rekod penderma darah terbanyak di Negeri Sembilan pada tahun ini dengan catatan 100 kali sejak 1992.

"Pertama kali saya derma darah adalah ketika berumur 20 tahun di dalam kem askar dan hingga kini saya lakukannya, kadang-kadang kalau tak pergi derma rasa macam berhutang, tak selesa, saya seperti 'ketagih' untuk menderma darah.

"Kita nak derma barangan atau wang ringgit mungkin tak mampu, tapi dengan sumbangan kecil ini, diharapkan mampu membantu menyelamatkan nyawa orang lain," katanya.

Pemilik darah jenis O ini berkata beliau kini menderma darah secara aferesis iaitu pendermaan plasma dan platelet atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan mesin aferesis dan darah merah akan dimasukkan kembali ke dalam badan penderma.

Dalam pada itu, anak kelahiran Johor yang sudah lama menetap di Negeri Sembilan ini berkata beliau berhasrat menjadi penderma darah sehingga akhir hayatnya.

"Selain membantu orang lain, ia juga menjadikan diri makin sihat selain saham untuk akhirat, dan saya harap ia akan menjadi dorongan kepada orang lain untuk turut sama menderma darah," katanya.

Berkongsi kisah sama, bekas tentera di Rejimen 2 Armor Diraja Kem Sunggala Port Dickson, Arumugam Kuppusamy, 55, berkata dakwaan bahawa menderma darah menyebabkan gemuk mendadak atau dijangkiti penyakit lain adalah tidak benar sebaliknya ia memberi kebaikan kepada tubuh.

Justeru, pemandu di Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Seremban yang pertama kali menderma darah pada usia 23 tahun itu menasihatkan orang ramai supaya tidak takut untuk melakukannya selain pelbagai keutamaan diberikan kepada penderma darah.

"Pencetus kepada saya untuk menderma darah adalah kerana saya belum dikurniakan cahaya mata walaupun telah lama berkahwin ketika itu, jadi saya fikir lebih baik saya derma darah supaya badan lagi sihat dan seterusnya dapat membantu orang lain," katanya yang kini mempunyai tiga anak yang turut mengikuti langkahnya itu.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Transfusi HTJ Dr Firdaus Che Ros berkata pihaknya menerima 1,000 ke 1,200 beg darah sebulan melalui pendermaan darah oleh orang ramai dengan lebih 20 individu menderma dalam sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:59 PM