ANTARA barangan keperluan yang sering diberi kepada golongan memerlukan.
ANTARA barangan keperluan yang sering diberi kepada golongan memerlukan.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Mereka sanggup memberikan butiran palsu, mencipta pelbagai alasan semata-mata untuk menerima bantuan yang disalurkan kepada golongan memerlukan.

Namun hakikatnya, 'orang susah' ini sebenarnya mempunyai kemampuan, malah ada yang hanya ingin menambahkan stok barangan di rumah menerusi bantuan badan bukan kerajaan (NGO).

Perkara itu dikongsi beberapa NGO yang mendedahkan secara purata sekurang-kurangnya terdapat lima kes penipuan di kalangan pemohon di setiap lokasi bantuan setiap hari.

Presiden Intelek Muda Nasional (Intelek) Mohamad Fadly Mohd Zain berkata, senario itu berlaku sejak awal program pemberian bantuan kepada golongan terjejas apabila pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun lalu.

Katanya, perkara itu berjaya dikesan seawal penyerahan maklumat peribadi untuk tujuan rekod apabila ada pemohon bantuan enggan bekerjasama dengan memberikan maklumat apabila diminta berbuat demikian.

"Intelek sudah menyalurkan ribuan bantuan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan setiap kali itu juga, ada (pemohon) yang mencuba nasib untuk mendapatkan bantuan.

"Ada antara mereka pada awalnya merayu bantuan, namun selepas sekretariat meminta maklumat penuh, dia tidak memberikan kerjasama.

"Paling menyedihkan, ada yang merayu bantuan, tetapi apabila dihantar ke rumah, kita boleh lihat lambakan bantuan sebelum ini yang anggarannya boleh digunakan untuk tempoh lima hingga enam bulan akan datang," katanya.

Sementara itu, aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang berkata, pihaknya juga berdepan situasi sama di mana pemohon meminta bantuan wang tunai.

Katanya, selepas dibantu, pemohon sama kembali menghubunginya dan meminta bantuan tambahan.

"Bila saya tak bagi, dia (pemohon) marah dan ugut saya pula. Semakan kita mendapati banyak kes yang pengadu hanya mahukan wang tunai dan bukan barangan. Jadi kita kena pastikan betul-betul supaya tidak tiris," katanya.

Bagi Presiden Kelab Perantau 11, Fairuz Mohamad, pihaknya berdepan situasi apabila pemohon tidak memaklumkan perkara sebenar bahawa mereka sudah menerima bantuan daripada pihak lain.

Katanya, dia pernah menerima laporan daripada sukarelawan mengenai pemohon yang meminta bantuan, walaupun sebenarnya bekalan masih banyak di rumah.

"Bila sukarelawan tanya (pemohon bantuan), mereka hanya tersenyum tanpa mengetahui ramai lagi yang sangat memerlukan untuk meneruskan hidup, bukan menambahkan stok sedia ada," katanya.

'Hilang berkat ambil hak orang lain'

Ustaz Jafri Abu Bakar.
Ustaz Jafri Abu Bakar.

Mengambil hak orang lain adalah sesuatu yang ditegah di dalam Islam kerana sikap ihsan dan prihatin sangat dituntut terutama ketika ada individu lain yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi berkata, selain itu agama Islam menegah umatnya daripada selalu meminta-minta dan perkara berkenaan ditegaskan di dalam beberapa hadis sahih.

"Jika kita mengambil sesuatu barang yang bukan hak kita, itu dikira mengambil hak orang lain. Kesannya orang yang benar-benar susah, tidak akan dapat bantuan dan perbuatan itu menyebabkan hilang berkat.

"Di dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam semua perkara…'. Jadi jelas, kita perlu ada ihsan kepada orang lain dan tidak mementingkan diri," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pengasas Kompleks Islam Darul Faizin, Bandar Baharu, Kedah berkata, sikap tamak menjadikan seseorang itu mementingkan diri sendiri sehingga lupa setiap bantuan sudah diaturkan untuk penerima tertentu.

Justeru katanya, masyarakat perlu sentiasa peka dan mengutamakan mereka yang benar-benar memerlukan tanpa ada perasaan tamak haloba yang akan membawa kepada kebinasaan di dunia dan akhirat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 2:00 PM