Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Aktivis kemanusiaan, Ustaz Ebit Lew hari ini tampil menafikan tuduhan terhadapnya berkaitan kunjungannya ke Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Dalam sesi sidang media itu, Ebit memberi penjelasan beberapa perkara dibangkitkan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman dan penyanyi rap, Caprice.

Ebit berkata, semua perbelanjaan yang digunakan termasuk pembelian ubat, barangan keperluan dan kos sepanjang di Mesir dan Gaza hanya menggunakan wang sendiri dan sumbangan beberapa rakan rapat yang enggan identiti mereka didedahkan.

Beliau berkata, dakwaan kos misi itu menggunakan duit sumbangan orang ramai juga ternyata fitnah kerana tiada tabung dibuka untuk misi ke negara bergolak itu.

"Saya pergi dengan wang sendiri serta sumbangan rakan rapat malah tiada tabung dibuka untuk misi bantuan Gaza," katanya, hari ini.

Menurutnya, kertas kerja yang diberikan Nadir kepada seorang ahli pasukannya dikenali sebagai Ustaz Zul hanya sebut harga bantuan makanan bukan prosedur untuk masuk ke Gaza.

Beliau berkata, selepas menunggu lebih 30 hari akhirnya dia dan kumpulannya dibenarkan masuk dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Mesir bersama sebuah syarikat pelancongan.

"Kami diminta untuk bayar AS$2,500 (kira-kira RM10,565) seorang untuk masuk bagi kos pengangkutan yang diuruskan seorang ejen perisikan Mesir.

"Ada syarikat lain sebelum itu yang tawar khidmat sama namun perlu membayar RM40,000 seorang dan ia begitu besar jumlahnya menyebabkan saya cuba mendapatkan alternatif lain.

"Saya juga tidak mengenali syarikat Hala yang dinyatakan Nadir kerana tidak pernah berurusan dengan sesiapa dari syarikat berkenaan untuk masuk ke Gaza," katanya.

EBIT ketika sesi secara langsung dalam talian. FOTO ihsan Ebit Liew
EBIT ketika sesi secara langsung dalam talian. FOTO ihsan Ebit Liew

Dalam sidang media itu juga, Ebit menafikan dia bersikap biadap dengan Nadir kerana dia mendakwa tidak menyedari kehadiran lelaki itu kerana tergesa-gesa untuk menunaikan solat selepas tiba di Gaza yang mengambil masa 21 jam dari Pintu Rafah, Mesir.

Katanya, perjalanan ke Gaza perlu menempuh 21 pos pemeriksaan tentera selain diiringi 12 kereta kebal sebagai langkah keselamatan.

"Barangan yang dibeli di Kaherah juga ada yang sudah tiba di Gaza pada Aidiladha lalu dibawa oleh Pasukan Palang Merah Mesir dan disiarkan menerusi Facebook (FB) kerajaan Mesir.

"Saya bersyukur kerana ubat dan barang keperluan lain biasanya ambil masa sehingga enam bulan untuk tiba kerana hanya Pasukan Palang Merah Mesir dibenarkan membawa bantuan ke Gaza," katanya.

Dalam pada itu, Ebit turut menafikan tuduhan dia mencium kaki seorang menteri di Gaza sebelum pulang ke Mesir.

Katanya, perbuatan itu ternyata bertentangan dengan akidah umat Islam malah dia menerima layanan yang baik dari menteri dan timbalan menteri di Gaza.

Tambahnya, dia juga tidak melarikan apa-apa dokumen untuk misi Gaza seperti dituduh Caprice baru-baru ini.

"Dia (Caprice) ada kata misi ini membabitkan saya, dia, Neelofa dan suaminya Haris namun tiada perbincangan lanjut dibuat kami mengenai perkara ini.

"Tuduhan saya bawa lari dokumen untuk pergi ke Gaza bersendirian juga tidak benar. Untuk apa saya larikan dokumen itu?," katanya.

Ebit juga meminta Nadir tampil menjelaskan bagaimana wang sumbangan RM20 juta yang diterima untuk pembangunan Gaza didedahkan.

"Bantuan saya di Gaza pula menggunakan wang sendiri dan sumbangan rakan rapat," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:29 PM