Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Tindakan dua lelaki membawa 128.78 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine di dalam kereta mewah Bentley membawa padah selepas mereka dicekup polis ketika sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gopeng di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, dua lelaki berusia 41 dan 47 tahun kelihatan dalam keadaan mencurigakan ditahan polis untuk pemeriksaan sebelum dadah bernilai lebih RM6 juta dikesan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika pemeriksaaan polis merampas dadah jenis Methamphetamine yang dikesan disorok di but kenderaan.

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai 117 bungkusan teh Cina yang didalamnya mengandungi 122.5 kg di ruang penyimpanan barang bahagian belakang kenderaan yang diubahsuai.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kampar ke atas kenderaan terbabit turut menjumpai enam bungkusan teh Cina yang di dalamnya mengandungi 6.28 kg di ruang penyimpanan tayar tambahan bahagian belakang kereta.Turut dirampas wang tunai campur-campur yang bernilai RM 3,390," katanya pada sidang media di ruang perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini hari ini.

MIOR Faridalathrash (dua kiri) bersama pegawainya menunjukan sebahagian dadah yang dirampas di dalam Bentley. FOTO Sharul Hafiz Zam
MIOR Faridalathrash (dua kiri) bersama pegawainya menunjukan sebahagian dadah yang dirampas di dalam Bentley. FOTO Sharul Hafiz Zam

Mior Faridalathrash berkata, suspek menggunakan modus operandi menggunakan kereta mewah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kalau kita melihat sekali pandang memang tidak nampak dadah yang di simpan di dalam bahagian but kereta yang diubahsuai, namun atas usaha pegawai berjaya membuka dan menjumpai dadah terbabit," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar untuk siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis Methamphetamine dan suspek kedua negatif.

"Suspek berusia 47 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai 24 Jun sehingga 30 Jun dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dari Johor dan bekalan dadah dipercayai untuk pasaran utara.

"Kita juga mendapati suspek menggunakan surat rentas negeri atas alasan untuk perniagaan yang sudah tamat tempoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 12:19 PM