Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Penahanan lelaki warga Indonesia di tepi jalan di Bagan Lipas Laut, Rungkup, Hilir Perak, 12.55 tengah malam semalam, membawa kepada rampasan 29 kilogram dadah syabu dianggar bernilai RM1.74 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata penahanan susupek berusia 56 tahun itu dilakukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua guni disyaki berisi barang terlarang berkenaan.

"Siasatan mendapati dadah berkenaan akan dieksport ke Indonesia melalui jalan laut di mana suspek memperoleh bekalan daripada seorang suspek lain iaitu lelaki warga temptan yang sedang kita kesan.

"Modus operani yang digunakan adalah suspek mengambil bekalan daripada suspek lain untuk dihantar ke tengah laut menggunakan bot atu sampan kecil yang berlabuh menggunakan jeti haram, bagi diambil oleh pihak lain sewaktu di tengah laut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

"Siasatan turut mendapati suspek sudah bergiat aktif dalam aktiviti itu sejak tiga bulan lalu.

"Suspek direman tujuh hari iaitu bermula dari hari dia ditangkap sehingga 2 Oktober ini dengan kes disasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, suami isteri ditahan dalam serbuan di rumah di Changkat Jong, Teluk Intan, kelmarin selepas pemeriksaan menemukan dadah jenis heroin serta syabu masing-masing dengan anggaran berat 4.19 kilogram dan 409.85 gram.

Beliau berkata, operasi yang turut dikendalikan sepasukan pegawai dan anggota BSJND IPD Hilir Perak, 3.35 petang itu menahan penganggur berusia 37 tahun serta isterinya, 28, yang bekerja sebagain pembantu kedai makan.

Menurutnya, nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas melalui pasangan itu adalah RM150,000 dengan dadah yang dirampas dipercayai bagi pasaran tempatan.

"Mereka dipercayai bergiat aktif sejak empat hingga lima bulan yang lalu. Kedua-dua merek direman enam hari bermula semalam sehingga 1 Oktober ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Katanya lagi, susulan penahanan suami isteri itu, serbuan susulan dilakukan di sekitar kawasan Teluk Intan, semalam dengan berhasil menahan lima lelaki berusia antara 18 hingga 32 tahun selain merampas dadah syabu serta ganja membabitkan nilai RM640.

"Kesemua mereka direman empat hari bermula semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), dan Seksyen 6 ADB 1952," katanya.

MIOR Faridalathrash (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam
MIOR Faridalathrash (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 11:40 AM