Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan polis bersama lebih tiga kilogram dadah jenis heroin dan methamphetamine di Medan Perwira, Kamunting di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di sebuah premis pada 9.30 malam dan menemui enam bungkusan plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 2,750.31 gram dan satu bungkusan plastik dadah jenis methamphetamine seberat 256.89 gram.

Menurutnya, susulan itu polis berjaya menahan seorang lagi suspek selepas berada dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta di hadapan premis berkenaan.

Katanya, kedua suspek yang ditahan itu dipercayai terlibat secara aktif dalam pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

"Polis turut merampas dua utas rantai emas, dua telefon bimbit, sebuah kereta dan motosikal yang digunakan mereka itu.

Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Medan Perwira, Kamunting di Taiping, Khamis lalu. Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Medan Perwira, Kamunting di Taiping, Khamis lalu. Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah dan harta yang disita berjumlah RM167,374, manakala jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 10,000 penagih," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung bekalan dadah yang diperolehi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif mengedar dadah di daerah ini sejak tiga bulan lalu.

"Suspek pertama merupakan seorang penganggur dan memiliki dua rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah, manakala suspek kedua merupakan pemandu lori dan memiliki tiga rekod kesalahan lampau juga membabitkan kes dadah.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai 11 Februari lalu hingga 17 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 6:00 PM