Redzuan Muharam


Pontian: Pemuda ini seperti kebanyakan orang kurang upaya (OKU) lain yang berusaha gigih untuk hidup dan melakukan pelbagai cara bagi menjual produk dan makanan.

Bezanya, ketika tempoh sukar pandemik Covid-19 ini, Muhamad Shahril Mohd Saaid, 24, tidak memperlahankan aktiviti sebaliknya berikhtiar lebih lagi untuk memastikan barang jualannya mendapat sambutan dan menambah pendapatan.

Ini termasuk mempromosikannya di aplikasi TikTok, antara platform media sosial yang menjadi kegemaran orang muda masa kini.

"Kalau boleh, saya mahu pergi lebih jauh dan ada jenama produk sendiri bagi membuktikan OKU juga boleh berjaya.

"Saya mahu membuka kedai menjual produk saya sendiri," katanya yang kini menjual kek kukus, kerepek dan donat yang dibeli daripada pembekal serta menjualnya di bandar ini termasuk di hadapan restoran makanan segera.

Mesra disapa Angah, Muhamad Shahril sudah tinggal berjauhan daripada keluarga sejak empat tahun lalu, bahkan dia pernah merantau di setiap negeri di Semenanjung untuk berdikari tanpa rasa takut walau perlu bertongkat.

Katanya yang berasal dari Ayer Baloi di sini, jualannya kini membolehkan dia menyara diri, membayar sewa bilik (RM220) di Jalan Taib, di sini dan menampung makan dan minum seharian.

"Pada mulanya, keluarga agak keberatan untuk membenarkan saya berniaga kerana tidak mahu saya dianggap seperti peminta sedekah, tetapi saya teruskan juga kerana mahu mencari rezeki dan minat berniaga.

"Saya semakin semangat untuk berniaga selepas bertemu dengan seorang OKU penglihatan menjual tisu di Kuala Lumpur. Kebiasaannya, saya berniaga daripada pagi hingga petang dan bersyukur kerana hasil jualan menerima sambutan," katanya yang juga anak kedua daripada tiga beradik.

Mengenai keadaan dirinya, Angah memberitahu dia dilahirkan normal tetapi menjadi OKU ketika berumur sembilan tahun selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan untuk ke kedai.

ANGAH tidak kisah menjual makanan di sekitar bandar Pontian demi menyara hidup. FOTO Ihsan Muhamad Shahril Mohd Saaid.
ANGAH tidak kisah menjual makanan di sekitar bandar Pontian demi menyara hidup. FOTO Ihsan Muhamad Shahril Mohd Saaid.

"Kemalangan itu menyebabkan saya koma dua bulan dan saraf anggota kanan badan saya bermasalah sehingga kini. Saya bersekolah dalam aliran Pendidikan Khas tetapi sehingga usia 15 tahun saja sebelum berhenti.

"Sebelum ini, saya tinggal dengan ibu saudara di Benut, Pontian bersama adik tetapi ambil keputusan merantau kerana yakin sudah sampai masanya untuk hidup berdikari," katanya.

Dia juga gembira kerana jualannya mendapat maklum balas positif pelanggan dan bersyukur kerana mereka membeli bukan semata-mata atas dasar simpati, sebaliknya kerana kesedapan produk berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 7:43 PM