Maryam ketika ditemui di rumahnya di Permatang Pauh ketika menerima surat tawaran gerai percuma daripada MPSP dan bantuan kewangan JKM. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Maryam ketika ditemui di rumahnya di Permatang Pauh ketika menerima surat tawaran gerai percuma daripada MPSP dan bantuan kewangan JKM. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad


“KALAU tak berniaga sehingga ke ‘tengah jalan’, kami tak boleh makan,” kata Maryam Ayob, 62.

Kisah keperitan hidup Maryam dan anaknya, Mohd Sahir Rozalee, 34, tular di laman sosial apabila dua beranak itu sanggup menggadai nyawa sehingga menjaja jualan makanan di jalan raya.

Ibu tunggal itu berkata, sejak kematian suami pada 2103, dia hilang tempat bergantung dan terpaksa mencari rezeki menjual bihun goreng, nasi lemak serta kuih-muih untuk menyara hidup bersama anak lelaki yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).

“Saya sebelum ini menjual di tepi jalan, namun tidak laku hingga saya buntu untuk mencari wang.

“Akhirnya, saya bersama anak menarik kereta roda dari rumah kami di Permatang Janggus ke Permatang Rawa kemudian menjualnya dengan mengetuk tingkap kenderaan di tengah jalan bagi melariskan jualan,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di rumahnya di Permatang Pauh, hari ini.

Maryam bersama Mohd Sahir menunjukkan surat tawaran gerai percuma untuk mereka berniaga dengan selesa. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Maryam bersama Mohd Sahir menunjukkan surat tawaran gerai percuma untuk mereka berniaga dengan selesa. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Menurutnya, mereka terpaksa menjaja makanan yang dijual sehingga ke tengah jalan kerana tidak mampu menyewa gerai.

“Ada kalanya hendak makan pun kami tidak mampu dan melalui cara menjual ‘di tengah jalan’ ini membuatkan jualan kami laris hingga memperoleh hasil antara RM120 ke RM270 sehari,” katanya.

Sebelum itu, Maryam menerima kunjungan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyampaikan surat tawaran gerai percuma bagi membantu mereka berniaga dalam keadaan selesa serta tidak membahayakan diri.

Maryam memperoleh bantuan zakat sebanyak RM300 sebulan, manakala anaknya pula menerima bantuan JKM sebanyak RM400 sebulan.

Bagaimanapun, Maryam berkata, wang yang diperoleh itu tidak cukup memandangkan kos sara hidup yang terlalu tinggi.

“Jadi, mahu tidak mahu saya perlu berniaga juga untuk mencari wang dengan dibantu anak lelaki.

“Saya sedar berniaga di tengah jalan ini salah dan membahayakan diri, namun apa boleh buat kerana saya terpaksa demi mencari sesuap nasi,” katanya.

Dalam pada itu, Maryam bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya.

“Syukur sangat sebab saya dan anak tidak tahu apa-apa, nak menyewa gerai sudah tentu kami tidak mampu.

“Jadi, apabila ditawarkan gerai secara percuma, ia melegakan hati saya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPSP, Shuhada Abdul Rahim berkata, pihaknya menyedari keadaan yang dilalui Maryam dan anaknya apabila terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup mereka.

“Difahamkan mereka sudah berniaga selama tiga tahun sebelum video serta gambar dua beranak itu tular di laman sosial.

“Kita memang lama menyedari apa yang berlaku dan beberapa kali meminta dua beranak itu berhenti berniaga di tengah jalan dengan membawa ke gerai yang lebih selesa, namun mereka menolaknya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dua beranak terbabit akhirnya menerima gerai yang diberikan kepada mereka hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 11:17 PM