Redzuan Muharam


SEAWAL jam 8 pagi, Akop Hasan, 67, sudah berada di hadapan bank di Desa Pandan, di Kuala Lumpur bersama motosikal roda tiganya untuk mencari rezeki dengan menjual pau pelbagai perisa.

Sejam kemudian, bapa empat anak itu bergerak pula ke Klinik Kesihatan Kampung Pandan di Kuala Lumpur dan berniaga di hadapan pintu masuk.

Begitulah rutin Akop, setiap hari bermula Isnin hingga Jumaat dan niatnya cuma satu iaitu menyara isteri, Zahariah Sulaiman, 61 dan anak sulungnya, Azizah, 42, yang kini menghidap masalah buah pinggang.

Berkongsi pengalamannya, Akop berkata, pendapatannya tidak menentu kerana ada ketika, pau jualannya habis awal dan pernah juga sebaliknya.

Akop yang tinggal menyewa di Taman Nirwana, di Kuala Lumpur akur dengan rezeki diterima kerana apa pun cabarannya, itulah punca pendapatannya sejak 20 tahun lalu yang digunakan menyara keluarga.

Malah, Akop tidak akan membawa pulang ke rumah baki pau jualannya yang tidak habis sebaliknya sedekahkan makanan itu kepada petugas di klinik kesihatan berkenaan.

"Saya berniaga pau sejak tahun 2000 dan mulanya di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan selama tujuh tahun sebelum dilarang menjual di situ.

"Dalam sehari, saya memperoleh antara RM30 hingga RM80 namun jumlah itu tidak mencukupi kerana komitmen saya besar. Apa pun terjadi, saya tetap perlu memberi nafkah kepada isteri.

AKOP HASAN
AKOP HASAN

"Paling terkesan adalah ketika permulaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana saya tiada simpanan langsung tetapi keadaan kini bertambah baik. Syukur apabila kerajaan memberi kelonggaran orang ramai bergerak jadi pelanggan saya kembali membeli seperti dulu," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Akop, pernah satu ketika rantai motosikalnya putus di tengah jalan hingga dia terpaksa mendapatkan bantuan rakan.

Katanya, keadaan itu menyebabkannya tidak dapat berniaga seharian dan itu antara kemungkinan dihadapinya sebagai peniaga yang bergerak menaiki motosikal roda tiga.

"Ketika mula berniaga dulu, saya hasilkan sendiri pau tetapi kini dihasilkan saudara perempuan manakala saya hanya mengambil upah menjual.

"Ia kerana isteri saya sudah uzur dan anak saya pula menghidap masalah buah pinggang jadi perlu memberi perhatian kepada mereka ketika di rumah. Ikutkan saya juga tidak sihat kerana baru-baru ini ada dimasukkan ke wad kerana masalah paru-paru berair tetapi cuba gagahkan diri.

"Mujurlah pihak zakat Selangor ada memberi bantuan bulanan sebanyak RM600, begitu juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menghantar bekalan ubat ke rumah untuk anak saya. Bantuan itu sedikit meringankan beban saya yang perlu menjelaskan sewa rumah sebanyak RM700 setiap bulan," katanya.

AKOP Hasan mencari rezeki dengan menjual pau pelbagai perisa bersama motosikal roda tiga beliau di Klinik Kesihatan, Kampung Pandan. FOTO AMIRUDIN SAHIB
AKOP Hasan mencari rezeki dengan menjual pau pelbagai perisa bersama motosikal roda tiga beliau di Klinik Kesihatan, Kampung Pandan. FOTO AMIRUDIN SAHIB

Mengenai kisahnya yang tular di Twitter, Akop mengakui terkejut dan hanya mengetahuinya, kelmarin selepas dimaklumkan anaknya.

"Sepanjang 20 tahun berniaga, inilah kali pertama kisah saya mendapat perhatian. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan dan mereka yang datang membeli pau dijual selepas membaca perkongsian seorang pelanggan itu.

"Menerusi sokongan mereka itu, dapatlah menampung perbelanjaan harian saya sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 4:03 PM