Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Hidup ini keras, putus asa itu 'haram'," itu pesanan bapa yang menjadi pegangan Muhammad Fakhruddin Mohamed Akbar sejak bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal akibat kecederaan saraf tulang belakang atau spinal cord injury kira-kira 13 tahun lalu.

Berbekalkan kata-kata itu, Muhammad Fakhruddin, 34, tabah berdepan dengan ujian malah kini semakin bersemangat terutama dalam menguruskan perniagaan burger di sebuah gerai dekat Taman Maluri, Cheras, di sini.

Meskipun baru hampir enam bulan membuka gerai berkenaan, perniagaan Muhammad Fakhruddin semakin mendapat sambutan terutama selepas kisahnya tular di laman sosial.

Istimewanya, rezeki yang diperoleh tidak dimanfaatkan untuk dirinya saja malah turut dibahagikan dengan niat infaq menerusi inisiatif agihan 10 biji burger setiap hari bermula kelmarin buat OKU dan asnaf terawal yang datang ke gerainya.

"Sebelum (berniaga) burger, saya pernah jual karipap dan daging rusa secara dalam talian.

MUHAMAD Fakhruddin yang berkerusi roda mencari rezeki dengan menjual burger di Taman Maluri. FOTO Eizairi Shamsudin
MUHAMAD Fakhruddin yang berkerusi roda mencari rezeki dengan menjual burger di Taman Maluri. FOTO Eizairi Shamsudin

"Pernah juga kerja di bahagian khidmat pelanggan selama tiga tahun dan jual makanan kucing kemudian beralih dengan berniaga burger sebab minat serta suka mencuba.

"Awalnya saya seorang cuma kini dibantu biras dan seorang pekerja kerana memang tak menang tangan nak layan selepas kisah saya tular.

"Alhamdulillah sambutan semakin baik malah nampak hasil jualan meningkat sejak ramai mula memboikot restoran makanan segera ada kaitan dengan Israel berikutan perang di Gaza, Palestin berbanding dulu yang agak sendu hingga nak dapat RM100 pun susah," katanya ketika ditemui Harian Metro.

MUHAMAD Fakhruddin melayani pelanggan yang berkunjung ke gerai burgernya. FOTO Eizairi Shamsudin
MUHAMAD Fakhruddin melayani pelanggan yang berkunjung ke gerai burgernya. FOTO Eizairi Shamsudin

Muhammad Fakhruddin berkata, keluarga dan isteri, Norhanisah Abdullah, 40, yang juga OKU fizikal banyak memberi semangat untuknya sampai ke tahap ini kerana pernah kemurungan serta hilang semangat untuk hidup selepas hilang keupayaan berjalan.

"Saya jadi begini berpunca daripada kemalangan selepas terjatuh daripada tingkat enam sebuah bangunan ketika bekerja di sebuah tapak binaan di Rawang, Selangor.

"Setahun juga saya ditahan di hospital dengan tiga bulan pertama dapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan pada awalnya tak tahu pun kaki saya sudah tak boleh berjalan.

"Selepas dapat tahu memang down dan ambil masa tiga tahun juga untuk terima kenyataan hingga pernah terfikir nak bunuh diri. Tapi orang terdekat terutama keluarga banyak beri sokongan untuk jadi kuat hingga ke hari ini," katanya.

Anak kelima daripada 13 beradik itu mengakui cuba kecacatan diri membataskan dirinya untuk melakukan perkara pernah dibuat ketika normal dulu.

Bagaimanapun, Muhammad Fakhruddin akur malah tidak ambil pusing seandainya ada yang memandang rendah kemampuannya kerana enggan hidup dalam prasangka buruk.

"Waktu normal dulu, saya suka memandu ke sana sini dan teroka perkara baru. Kini, saya kena terima yang diri tak boleh berjalan dan bergerak pun dengan bantuan kerusi roda.

"Kalau boleh, saya mahu fikir positif dan tak ambil endah dengan hal negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 9:29 PM