KHAIRUL Azlam melihat Nur Saiyidah menggunakan BUDI.
KHAIRUL Azlam melihat Nur Saiyidah menggunakan BUDI.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Buku Teks Digital (BUDI) senang digunakan, malah membantu saya dalam mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)," kata Nur Saiyidah Nafisah Khairul Azlam.

Nur Saiyidah, 11, berkata, proses PdPR menjadi semakin lancar melalui BUDI selain memberi kemudahan kepadanya menyiapkan segala tugasan diberikan guru.

"Saya berasa bertuah kerana menjadi murid dan pengguna pertama BUDI di negara ini.

"Apabila sesi persekolahan bermula nanti, saya tidak perlu lagi membawa buku teks ke sekolah dan cukup hanya membawa BUDI," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint Perdana Seberang Takir di sini.

Bapanya, Khairul Azlam Mohamad, 49, berkata, BUDI mempunyai banyak kelebihan untuk membantu anaknya mengikuti PdPR sejajar dengan proses pembelajaran diperkenalkan susulan Covid-19.

"Sebagai ibu bapa, semestinya mencari peranti yang paling sesuai digunakan untuk mengikuti PdPR.

"Alhamdulillah, saya diperkenalkan dengan BUDI yang lengkap serta menepati ciri yang dikehendaki serta membelinya.

"Walaupun harganya agak tinggi berbanding peranti yang lain namun ia sangat berbaloi dibeli kerana sistem yang terkandung di dalam BUDI memberi kemudahan kepada pengguna daripada segala aspek," katanya.

Khairul Azlam berkata, beliau paling tertarik dengan sistem dua kata kunci disediakan di dalam BUDI.

"Sistem dua kata kunci itu membantu saya memantau penggunaan tablet seterusnya mencegah anak daripada melayari internet atau bermain permainan video tanpa kawalan.

"BUDI juga boleh dibawa ke sekolah sejajar dengan pelaksanaan Dasar Murid Membawa Peranti ke sekolah selaras dengan Anjakan 7.

"Peranti itu juga boleh digunakan di mana sahaja dan tidak memerlukan kepada data internet kerana ia boleh dilayari secara luar talian," katanya

Tambahnya, dia juga boleh menggunakan peranti BUDI itu untuk urusan seharian seperti peranti yang lain.

"Selepas anak menggunakan peranti itu untuk belajar, saya juga boleh menggunakan peranti yang sama untuk urusan kerja.

"Empat anak yang masih bersekolah turut boleh menggunakan peranti yang sama untuk mengikuti PdPR," katanya.

Beliau berpuas hati dengan kemudahan disediakan BUDI dan sesuai untuk semua murid dan pelajar bagi mengikuti PdPR.

Orang ramai yang berminat memilih tablet BUDI untuk kegunaan anak atau mahu menjadi salah seorang ejen jualan yang sah, boleh menghubungi atau menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 0108910121. Maklumat lanjut layari www.budi.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 9:00 AM