KHAIRUL Rizam (empat, kanan) bersama Pengerusi MPP Parlimen Batu, Gulam Muszafar Gulam Mustakim (tengah), bergambar bersama penerima ketika Program penyerahan 1Tablet 1Keluarga anjuran GPMSWP untuk membantu pelajar B40 yang memerlukan peranti untuk PdPR di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KHAIRUL Rizam (empat, kanan) bersama Pengerusi MPP Parlimen Batu, Gulam Muszafar Gulam Mustakim (tengah), bergambar bersama penerima ketika Program penyerahan 1Tablet 1Keluarga anjuran GPMSWP untuk membantu pelajar B40 yang memerlukan peranti untuk PdPR di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Gembira dapat bantuan ini. Lepas ini tak perlu lagi guna telefon bimbit ayah untuk belajar di rumah.

"Sebelum ini telefon saya rosak dan terpaksa berkongsi dengan ayah. Insya-Allah selepas ini saya akan belajar dengan bersungguh-sungguh," kata Nurul Shabila Muhammad Daniel Lee.

Menurutnya, dia begitu gembira apabila terpilih sebagai penerima tablet sumbangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMSWP) dan Persatuan Penduduk Perumahan Seri Perak Sentul, semalam.

Katanya, tablet bersama data itu akan digunakan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran dan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selepas ini.

Seramai 10 orang penerima terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul terpilih untuk mendapat sumbangan tablet berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi GPMSWP Khairul Rizam Abu Samah dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu, Gulam Muzaffar Gulam Mustakim.

Seorang lagi pelajar, Siti Aminah Mohd Zahid, 17, berkata, dia lega kerana tidak perlu menunggu giliran menggunakan telefon bimbit bersama tiga adiknya yang lain.

"Saya bersyukur kerana dapat tablet ini dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran," katanya.

Sementara itu, Khairul Rizam berkata, pihaknya melancarkan tabung kutipan sumbangan bagi inisiatif 1Tablet 1Keluarga.

Katanya, inisiatif itu timbul selepas GPMSWP menerima pelbagai maklum balas dan aduan daripada pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan berhubung kemampuan mereka memiliki peranti bagi tujuan PdPR.

Katanya, pihaknya mensasarkan membantu seramai mungkin pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan selepas ini.

"Bagi mengukuhkan inisiatif ini di Parlimen Batu, GPMSWP menandatangani Memorandum Kerjasama dengan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Seri Perak Bandar Baru Sentul bagi sokongan pelajar dalam penggunaan dan bantuan data Internet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 1:08 PM