SEGALA perancangan dapat dilakukan guru dengan lebih baik ketika mengajar dan memberi tumpuan kepada semua murid di dalam kelas. FOTO Asrol Awang
SEGALA perancangan dapat dilakukan guru dengan lebih baik ketika mengajar dan memberi tumpuan kepada semua murid di dalam kelas. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Penularan wabak pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap kehidupan seharian dan tidak terkecuali membabitkan institusi pendidikan.

Keputusan kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Ini kerana mereka lebih selesa mengadakan sesi pembelajaran secara bersemuka yang dilihat lebih berkesan berbanding PdPR.

Bagi Guru Besar Sekolah Tunku Azizah, di sini Sharipah Hadibah Habib Noh, pembelajaran secara bersemuka memberi banyak kelebihan berbanding PdPR.

Katanya, murid yang tidak memahami dapat bertemu dengan guru secara bersemuka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Murid juga dapat belajar bersama rakan mereka dan lebih banyak aktiviti yang dapat dilakukan di sekolah berbanding di rumah.

"PdPR secara dalam talian menyebabkan banyak perkara terhalang dan ia memberi kesan kepada tahap prestasi pembelajaran murid.

"Di sekolah, segala perancangan dapat dilakukan guru dengan lebih baik ketika mengajar dan memberi tumpuan kepada semua murid di dalam kelas," katanya.

Guru Bahasa Melayu dan Sains, Datin Roziah Shamsuddin berkata, beliau mengakui fokus murid lebih kepada pembelajaran secara bersemuka.

Katanya, ini kerana tidak semua ibu bapa berkemampuan dalam memberi kemudahan gajet kepada anak masing-masing walaupun ia keperluan sebaik pelaksanaan PdPR.

"Ada murid yang tidak dapat membuat kerja sekolah yang diberi disebabkan tiadanya kemudahan gajet dan ia memberi kesan kepada murid berkenaan.

"Bagaimanapun, sebaik sekolah dibuka, murid lebih fokus dan ia memudahkan guru untuk memantau prestasi setiap murid apabila berada di dalam kelas.

"Saya dapat rasakan murid lebih mudah faham apabila berhadapan dengan guru berbanding sesi pembelajaran dilakukan secara dalam talian," katanya.

Bagi Syarifah Salwa Syed Mad Damhuri yang mempunyai empat anak yang bersekolah, cabaran utama sebagai ibu amat tinggi apabila terpaksa memberikan fokus ketika berada di rumah.

Katanya, beliau terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan untuk memastikan empat anaknya tidak terlepas mengikuti kelas sepanjang PdPR.

"Sebagai ibu sudah pasti saya mahu melihat anak-anak dapat belajar dengan sebaiknya. Tetapi kaedah yang terbaik ialah belajar secara bersemuka demi masa depan mereka," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTA, Abdul Razak Ahmad berkata, pihaknya lebih menekankan kepada pembelajaran secara bersemuka di sekolah berbanding PdPR.

Katanya, pembelajaran di sekolah akan memastikan kualiti dan prestasi anak lebih baik kerana berlaku kekangan apabila sesi persekolahan dilaksanakan secara PdPR.

"Melalui PdPR, murid akan menghadapi masalah antaranya sukar memahami penerangan daripada guru selain turut berdepan dengan masalah gangguan internet.

"Apabila masalah gangguan internet atau murid yang tidak mempunyai kemudahan gajet, ia akan menyukarkan mereka untuk belajar.

"Tidak semua ibu bapa mempunyai kemudahan itu termasuk ibu bapa juga bekerja dan tidak berada di rumah sepanjang masa.

"Bagi saya, kaedah terbaik ialah belajar secara bersemuka di sekolah kerana ia lebih banyak membantu dan memudahkan guru memantau murid mereka

"Sekolah juga adalah tempat paling selamat buat anak-anak berbanding meninggalkan anak di rumah kerana tidak semua ibu bapa berada di rumah.

"Pada masa sama, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga perlu diperketatkan untuk menyekat penularan wabak pandemik Covid-19 di sekolah," katanya.

Bagi Nur Arissya Sofea Zulhizam, 12, dia lebih suka hadir ke sekolah berbanding belajar di rumah yang agak sukar terutama daripada segi pembelajaran.

Katanya, apabila berada di sekolah, segala kekeliruan atau berdepan masalah berkaitan subjek akan memudahkan dia bertanyakan kepada guru.

"Apabila belajar secara dalam talian, ia menyebabkan masa terhad dan sukar untuk bertanya dengan lebih banyak dan jawapan yang diterima juga mungkin tidak seperti yang diinginkan.

"Bagi saya, belajar secara bersemuka lebih bagus bukan sahaja dapat bertemu dengan guru malah dengan adanya rakan, kami dapat saling membantu antara satu sama lain.

"Sesi persekolahan di sekolah juga banyak membantu dan meningkatkan keyakinan dan lebih bersemangat," katanya.

Muhammad Hariz Abqari Mohammad Syaiful Bahari, 12, pula berkata, belajar secara bersemuka dapat membantu memberi fokus kepadanya berbanding secara PdPR.

Katanya, segala permasalahan yang dihadapi dalam subjek dapat terus berhubung terus dan mendapat maklumat dengan guru secara lebih baik.

"Sebenarnya, saya menyokong pembelajaran secara bersemuka berbanding PdPR ketika semua murid dapat kekal fokus dalam menuntut ilmu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 6:50 AM