EVA bersama kakitangannya.
EVA bersama kakitangannya.

DALAM usaha memastikan Malaysia seiring dengan negara lain mengadaptasi teknologi digital menerusi sistem pendidikan bagi memudahkan pelajar, Digital Text Sdn Bhd menawarkan Buku Teks Digital (BUDI) iaitu gajet pada harga berpatutan yang dilengkapi perisian buku teks digital untuk semua subjek tahun enam.

BUDI yang diberi Pelesenan Hak Cipta Buku Teks oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah proaktif berkenaan bagi mengubah landskap pendidikan negara dalam era Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Text Sdn Bhd, Eva Zalcmane berkata, penggunaan peralatan berteknologi moden dalam sistem pembelajaran sebenarnya sudah diguna pakai di negara maju.

Menurutnya, sudah tiba masanya peralatan berteknologi moden digunakan sebaiknya dalam pendidikan di negara ini seterusnya membolehkan pelajar belajar dengan mudah dan di mana saja.

"Di seluruh dunia, kebanyakan negara mengguna pakai teknologi moden dalam kehidupan seharian dan kini kita juga perlu berubah seiring dengan kemajuan.

"Selain ke arah mengurangkan penggunaan kertas, kita juga boleh memaksimumkan penggunaan teknologi terutama gajet dalam pendidikan," katanya.

Berkongsi mengenai penubuhan BUDI, Eva yang mempunyai sarjana dalam pendidikan awal kanak-kanak berkata, idea itu tercetus sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, pengasas Projek BUDI ini mahu menjadikan digital sebagai menyelesai masalah di sekolah supaya pelajar tidak perlu membawa buku ke sekolah dan mereka boleh belajar dengan menggunakan teknologi moden.

"Mungkin 10 tahun lalu tidak semua keluarga memiliki gajet dan penggunaannya tidak meluas terutama dalam kalangan pelajar selain ia bukan keperluan dalam kehidupan seharian.

"Kini, selepas 10 tahun, ia masa yang sangat sesuai untuk kami merealisasikan BUDI dan mengubah buku teks lama kepada digital kerana hampir semua keluarga di negara ini mempunyai gajet," katanya.

Menurut Eva, setiap murid dan pelajar mempunyai peluang belajar dengan peralatan moden dan di mana juga termasuk kawasan pedalaman.

"Kami juga ingin memastikan sekolah dan sistem pendidikan di negara ini tidak ketinggalan. Jadi, dengan melaksanakan teknologi pembelajaran moden yang baru, pelajar boleh belajar menggunakan tablet.

"Pelajar juga tidak lagi berdepan dengan masalah sakit belakang kerana buku yang tebal atau kehilangan buku kerana dengan BUDI, semua buku bersama mereka sama ada di sekolah mahupun di rumah," katanya.

Katanya, BUDI dibangunkan bukan kerana penularan wabak Covid-19, ia siap tepat pada masanya kerana hampir di seluruh dunia melaksanakan pembelajaran dalam talian.

Beliau berkata, ia menjadikan BUDI pilihan terbaik untuk terus memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran.

Eva berkata, dulu, gajet dilihat sangat mahal tetapi kini rata-rata ibu bapa mencari gajet atau peranti yang sesuai untuk digunakan anak melaksanakan PdPR.

"BUDI mempunyai dua kelebihan iaitu ia boleh berfungsi sebagai gajet biasa dan sebagai buku teks bergerak.

"Kami tahu, kini ibu bapa boleh memuat turun buku teks secara percuma di bawah Kementerian Pendidikan, tetapi buat masa ini, hanya tablet BUDI dibenarkan dibawa ke sekolah khusus untuk murid tahun enam.

"Pihak syarikat juga bekerjasama dengan beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam usaha mendigitalkan modul dalam sistem pendidikan mereka," katanya yang lebih 10 tahun menetap di negara ini.

BUDI menggunakan peranti Samsung Galaxy Tab A bersaiz lapan inci dan ia kini boleh dimiliki pada harga RM999.

Harga itu kata Eva, sangat berbaloi dimiliki kerana dengan hanya menggunakan satu tablet, seisi keluarga boleh menggunakannya.

"Kami faham mengenai kekangan ibu bapa untuk membeli gajet terutama yang mempunyai anak yang ramai.

"Tetapi dengan BUDI, mereka hanya perlu membeli satu gajet dan ia boleh digunakan oleh semua anak tidak kira di sekolah rendah atau menengah bagi tujuan PdPR. Ibu bapa juga boleh menggunakan tablet ini untuk urusan kerja.

"Kami juga mengalu-akukan pihak individu, syarikat korporat atau kerajaan negeri untuk membeli dan menyumbangkan tablet BUDI ini kepada yang memerlukan seperti yang dilakukan salah satu kerajaan negeri di negara ini," katanya.

BUDI juga menawarkan kemudahan aplikasi 30 juzuk al-Quran dan dilengkapi dengan sistem kata laluan berganda iaitu kata laluan ibu bapa untuk kegunaan umum serta kata laluan murid dan pelajar.

Lebih menarik, kata Eva penggunaan BUDI tidak memerlukan kepada data internet kerana ia boleh dilayari secara luar talian seterusnya digunakan di mana saja.

Naib Presiden Integriti Projek Budi Muhamamd Mustakim pula berkata, selain perisian buku teks tahun enam, BUDI menggunakan peranti berjenama.

Jadi, tablet ini akan memberi kemudahan dan kepuasan kepada pelanggan tanpa perlu bimbang risiko kerosakan dan masalah kualitinya.

"BUDI disediakan skim perlindungan insuran untuk skrin tablet pecah, kecurian atau kehilangan," katanya.

Mengulas mengenai perbezaannya dengan tablet yang sama di pasaran, kata Mustakim, BUDI mempunyai kod siri sekali gus membolehkan pihak syarikat mengenai pasti sama ada tablet adalah tulen atau sebaliknya.

"Jadi, ibu bapa tidak perlu risau jika anak bertukar tablet lain dengan rakan dan integriti sistem BUDI sentiasa dititik beratkan," katanya.

Bagi yang ingin mencari pendapat sampingan terutama dalam keadaan yang mencabar ini, BUDI turut menyediakan peluang itu.

Sementara itu, Naib Presiden Khidmat Pelanggan Projek Budi Ruzana Tampong berkata, syarikat membuka peluang kepada sesiapa saja menjadi wakil jualan atau ejen berdaftar bagi menjana pendapatan dengan setiap penjualan BUDI.

"Menariknya, untuk menjadi ejen, kata Ruzana, seseorang itu hanya perlu membeli satu set BUDI dan mendaftar sebagai ejen.

"Tiada modal, tidak perlu menyimpan stok tetapi pendapatan yang diterima sangat memberangsangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 7:20 AM