AZREEN (kanan) bersama anak-anaknya.
AZREEN (kanan) bersama anak-anaknya.
Rosli Ilham


KEMAMAN: Wanita 10 anak ini pernah berdepan detik sedih dan sukar apabila suami serta anak sulungnya dipanggil Tuhan enam tahun lalu.

Namun, pesanan arwah suami supaya memberikan pendidikan agama terbaik kepada anak selain memastikan mereka belajar hingga ke menara gading menguatkan semangatnya meneruskan kehidupan.

Kini, Azreen Abdul Aziz, 50, boleh menarik nafas lega apabila tujuh daripada 10 anaknya berada di menara gading manakala tiga lagi berada di landasan baik untuk mengikut jejak langkah abang dan kakak mereka.

Menurutnya, dia sentiasa ingat pesan arwah yang mahu anak mereka belajar hingga ke menara gading dan bersyukur hampir berjaya melaksanakan pesanan arwah suami.

Bersama Metro Ahad, Azreen menceritakan detik sukar membesarkan 10 anak selepas suami, Mohd Shakri Mohd Nor, 46, (usia ketika itu) dan anak sulungnya, Syed Ahmad Shakir Shakri, 19, maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 320.5, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Tapah, pada 15 Mei 2014.

Menurutnya, ketika itu anaknya, Syed Ahmad Zubair berusia 18, Syed Ahmad Luqman, 17, Sharifah Nur Aisyah, 15, Syed Ahmad Yusuff, 12, Syed Ahmad Abdullah, 11, Syed Ahmad Idris, 10, Syed Ahmad Ilyas, 9, Asma Azzahra, 7, Syed Ahmad Yahya, 6, dan Asiah Mardhiyah, 4, masih kecil serta bersekolah yang perlu diberi perhatian.

Kini, Syed Ahmad Zubair belajar di University of Cyberjaya, Syed Ahmad Luqman (Universiti Malaya), Sharifah Nur Aisyah (UniKL), Syed Ahmad Yusuff (menunggu keputusan ke universiti), Syed Ahmad Abdullah, Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Syed Ahmad Idris (Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman), Syed Ahmad Ilyas (Pesantren Darul Habib, Bogor, Indonesia).

"Asma Azzahra, Syed Ahmad Yahya dan Asiah Mardhiyah pula kini sedang belajar di Sekolah Rendah dan Menengah Islam Al Amin Kemaman," katanya.

Menurutnya, pemergian suami yang menjadi dahan tempat bergantung menyebabkan dia hilang sumber pendapatan selain memikirkan usaha perlu dilakukan.

"Malah, ketika itu enam anak belajar di Sekolah Rendah Islam Al-Amin di Kemaman kerana arwah mahu semua anaknya mendapat pendidikan agama yang terbaik.

"Ketika itu juga, fikiran agak kusut dan terfikir menukarkan mereka ke sekolah harian biasa bersesuaian dengan kemampuan pada saat itu," katanya.

Tanpa henti mengharap pertolongan Allah SWT, Azreen bersyukur doanya dimakbulkan apabila semua anak dapat meneruskan pembelajaran di sekolah Al-Amin berikutan yuran pengajian mereka dibiayai melalui sumbangan ibu bapa pelajar termasuk pihak pengurusan sekolah.

AZREEN (kanan) mengajar dua anaknya, Syed Ahmad Yahya dan Asiah Mardhiyah mengaji.
AZREEN (kanan) mengajar dua anaknya, Syed Ahmad Yahya dan Asiah Mardhiyah mengaji.

"Saya benar-benar hargai jasa dan pengorbanan mereka semua dan berdoa supaya Allah membalas budi baik mereka," katanya.

Malah, dia bersyukur apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar bantuan pencen ilat RM2,500 sebulan.

"Saya berjimat dengan duit sumbangan itu selain mula berniaga kain secara dalam talian bagi menyediakan keperluan dan pembelajaran anak," katanya.

Bukan itu saja, Azreen mengakui ketika itu dia diuji lagi apabila diminta berpindah dengan keadaan ketika itu sukar mencari kediaman di Kemaman termasuk kadar sewa tinggi.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila pihak syarikat tempat suami bekerja menyalurkan sumbangan dengan mengambil kira sumbangan besar suami kepada syarikat selama ini.

"Saya guna sumbangan itu dengan sebaik mungkin kerana bimbang wang akan habis jika dibelanjakan, jadi saya ambil keputusan beli tanah dan bina rumah.

"Rumah ini sekarang menjadi tempat kami anak- beranak berteduh dan tidak perlu menyewa lagi selain terus berusaha menjalankan perniagaan kain demi membiayai pelajaran anak," katanya

Mengimbas kehidupan bersama arwah suami, Azreen berkata, selepas mendirikan rumah tangga, dia mengikuti suami bekerja di Kuantan dan Dungun, Terengganu sebelum menetap di Geliga, Kemaman.

"Kami menetap di Kemaman selama 15 tahun dan menyewa sebuah rumah dengan sewa RM400 sebulan.

"Ketika itu dia (arwah) menjadi pengurus projek syarikat rakannya di sini dan ketika kemalangan itu, arwah suami dalam perjalanan menghadiri mesyuarat di Pulau Pinang dan mengajak arwah anak (Syed Ahmad Shakir) menemaninya ke sana," katanya yang berasal dari Melaka.

Azreen mengakui dia sentiasa menekankan aspek pembelajaran selain mahu anak tidak meninggalkan solat sejak mereka kecil.

"Semua anak saya tidak pernah mendapat apa-apa sumbangan pembelajaran daripada kerajaan negeri kerana tidak layak memandangkan mereka tidak dilahirkan di Terengganu.

"Sepanjang hidup arwah, dia banyak membantu rakan yang susah dan pesanan arwah akan saya galas demi anak kami berjaya sebelum saya menutup mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:45 AM