Khairulmizan Yahya

Kuantan: "Arwah rajin mengaji. Setiap hujung minggu tak pernah tinggal pergi belajar mengaji dan saya harap adik-adiknya mengikuti jejak langkah kakak," kata Mohamad Hasnizam Manan, bapa kepada kanak-kanak yang maut dihempap pokok tumbang di Kampung Balok Baru, di sini, petang semalam.

Mohamad Hasnizam, 45, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Maznah Abdul Ghani, 36, sedang melayan pelanggan di gerai burger mereka berdekatan rumah.

"Sebaik menyedari kejadian pokok tumbang berhampiran taman permainan itu, saya terus mendapatkan anak-anak saya.

"Mulanya saya lega apabila melihat empat anak yang kecil ada bersama, namun tiba-tiba jiran datang memberitahu anak saya yang ketiga dihempap pokok," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, malam tadi.

Katanya, anak perempuannya itu dikeluarkan orang ramai dari hujung pokok tumbang dan dia dipercayai terkena pada bahagian dahan.

"Ketika itu dia dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada luka yang dilihat kecuali keluar darah dari hidung.

"Pihak bomba ada melakukan pemeriksaan awal sebelum dia dibawa ke HTAA untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia," katanya yang reda dengan kejadian itu.

MOHAMAD Hasnizam. FOTO Khairulmizan Yahya
MOHAMAD Hasnizam. FOTO Khairulmizan Yahya

Menurutnya, dia tidak menyangka hasrat anaknya untuk makan piza menjadi permintaan terakhir.

"Saya sempat menunaikan hasrat arwah semalam," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, disahkan meninggal dunia ketika tiba di HTAA.

Mohamad Hasnizam berkata, arwah disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan banyak membantu dalam urusan keluarga.

"Dia anak perempuan sulung, jadi dia memang pandai jaga adik-adiknya dan menjadi harapan kami sekeluarga," katanya.

Difahamkan, jenazah dikebumikan di kampung halaman di Tanah Perkuburan Felda Cerul Satu, Kemaman, Terengganu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 12:48 PM