Amirul Haswendy Ashari


DALAM ruang serba sempit, dipenuhi barangan lusuh dan terbuang.

Di sinilah Asiah Abdul Wahid@Abdul Wahab, 39, bersama suami dan dua anaknya, Muhammad Haiqal, 15, dan Muhammad Adam Ramadan, 11, berteduh daripada panas dan hujan.

Dek kedaifan, keluarga ini yang menetap di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak di sini, terpaksa berharap kepada bantuan masyarakat demi sesuap nasi.

“Kehidupan kami sekarang hanya harapkan ihsan orang ramai. Kalau ada yang beri makanan, adalah.

“Kalau tiada, makan saja apa yang di rumah.

“Ada menasihati saya pergi ke Baitulmal atau pejabat zakat tapi dalam keadaan fizikal saya sekarang, kena harapkan bantuan orang untuk dibawa ke sana.

“Saya pernah dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui untuk permohonan baharu,” kata Asiah yang disahkan menghidap penyakit urat saraf sejak 1997.

Dia yang pernah menghidap barah sebelum ini berkata, selepas mengandungkan anak kedua, kesihatannya semakin merosot.

ASIAH bersama anaknya mengharapkan ihsan orang ramai untuk meringankan beban keluarganya. FOTO Saifullizan Tamadi
ASIAH bersama anaknya mengharapkan ihsan orang ramai untuk meringankan beban keluarganya. FOTO Saifullizan Tamadi

Akibat penyakit itu juga, dia terpaksa merangkak malah kadangkala mengengsot untuk bergerak.

Suami Asiah yang enggan dikenali bekerja membuat kerja-kerja pendawaian dengan pendapatan sekitar RM300 sebulan.

“Dengan duit itulah digunakan untuk beli makanan selain persekolahan anak.

“Anak sulung sebelum ini pernah berhenti sekolah sebab tahu kami tidak mampu menyekolahkan mereka.

“Jiran memberitahu anak pernah menangis dan mengadu kepada mereka yang dia teringin ke sekolah semula, tapi pada masa sama tidak dapat berbuat apa-apa sebab tahu keluarga tidak mampu,” katanya.

Dia akui terpaksa pasrah dan reda dengan ketentuan Allah yang menguji kehidupan mereka sekeluarga sehinggakan terpaksa menahan malu dengan menyerahkan tanggungjawab kepada anak-anak untuk mencari makanan mereka sendiri.

Katanya, anak sulung yang baru saja menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 bekerja sebagai tukang cuci kereta selepas pulang dari sekolah.

“Anak bongsu pula, kadangkala ‘melilau’ mencari makanan mengharap belas ihsan jiran tetangga.

“Nak buat macam mana lagi? Saya kena terima hakikat. Kadangkala tak harapkan sangat pada bantuan tapi kalau orang tengok keadaan saya macam ini, pasti ada yang bertanya. Saya terima saja,” katanya.

KEADAAN dalam rumah Asiah yang tidak terurus. FOTO Saifullizan Tamadi
KEADAAN dalam rumah Asiah yang tidak terurus. FOTO Saifullizan Tamadi

Asiah akui dalam yang membantu, pasti ada yang mengata. Namun dalam keadaan pergerakan fizikalnya yang terhad, tiada apa dapat dilakukan melainkan berdiam diri saja.

Jauh dalam sudut hati, dia sememangnya teringin untuk bekerja mencari nafkah sendiri tanpa mengharapkan sumbangan orang ramai mahu pun suami.

Apatah lagi dia pernah melakukan pelbagai kerja seperti bekerja kilang, kerani dan membantu membuat kuih ketika masih sihat.

Sehinggakan pada saat-saat akhir sebelum dia mengalami lumpuh separuh badan, dia pernah kuatkan diri mengengsot dengan bantuan jiran untuk keluar bekerja menaiki pengangkutan awam.

“Kali terakhir saya bekerja ketika mengandungkan anak kedua.

“Macam-macam kerja saya buat. Pernah kerja kilang cetak, kilang gas, bantu di gerai burger, semuanya nak cari duit punya pasal.

“Bak kata orang, saya memang tak duduk diam.

“Dulu ketika menghidap barah, hospital ibarat rumah kedua,” katanya.

Menurutnya, kadangkala adik-beradiknya pernah menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Orang ramai yang ingin menyumbang dan melawat keluarga ini boleh berkunjung ke No 32 G, Blok 8, Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak, Cheras.

ASIAH disahkan menghidap penyakit urat saraf sejak 1997 hanya mampu merangkak untuk bergerak. FOTO Saifullizan Tamadi
ASIAH disahkan menghidap penyakit urat saraf sejak 1997 hanya mampu merangkak untuk bergerak. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 6:45 AM
ASIAH menggunakan tongkat untuk bergerak sekitar rumahnya di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak. FOTO Saifullizan Tamadi
ASIAH menggunakan tongkat untuk bergerak sekitar rumahnya di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak. FOTO Saifullizan Tamadi