Ridzuan Abdul Rahman

PADA usia 26 tahun, penyanyi dan pelakon cantik, Daiyan Trisha berjaya menghasilkan album Inggeris pertamanya berjudul Daiyan Trisha the Album.

Biarpun usahanya diperlekehkan segelintir warganet, keberanian dan keyakinan Daiyan yang menghasilkan album ini wajar dipuji.

Tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman terkenal, dia menggunakan modal sendiri untuk album yang dikeluarkan pada tahun lalu.

“Saya bergerak sendiri kerana sedar agak susah syarikat rakaman di Malaysia nak keluarkan album Inggeris. Alhamdulillah sambutannya okay, cuma dari segi pemasaran agak terhad kerana tiada label besar.

“Apapun saya keluarkan album ini untuk kepuasan sendiri dan peminat. Mereka tahu dan sudah mencukupi buat saya, katanya.

Daiyan berkata, kritikan yang dilemparkan langsung tidak melemahkan semangatnya kerana matlamatnya untuk kepuasan diri.

“Niat itu penting kerana saya buat album untuk diri sendiri dan dikongsi dengan peminat. Cuma tak seronoknya usaha ini diperlekehkan kerana saya dah berusaha tanpa mengganggu sesiapa, katanya.

Daiyan bagaimanapun gembira kerana usahanya membuahkan hasil apabila dijemput beraksi dalam konsert jelajah Asia Tenggara bersama penghibur kelahiran Amerika Syarikat (AS), Sam Tsui pada November tahun lalu.

MAHU ikut jejak Yuna.
MAHU ikut jejak Yuna.

“Saya buat persembahan di enam negara bermula di Singapura dan seterusnya untuk Konsert The Gold Jacket Tour Sam Tsui di Jakarta, Taipei, Bangkok, Manila dan Hong Kong.

“Saya ada lagu untuk persembahan dan ia jadi faktor saya dapat undangan. Ini hasil yang diperoleh menerusi penghasilan album ini. Ini kali pertama saya buat jelajah album terbabit. Pengalaman ini sesuatu yang mengujakan. Jika dapat tawaran dari label luar, saya lebih selesa nak cuba nasib di tempat yang penduduknya menggunakan bahasa Inggeris. Kalau dapat ikut jejak Yuna lagi bagus, katanya.

Daiyan mengakui terlalu banyak projek yang disusun tahun ini, namun terpaksa akur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sepatutnya saya ke Jepun dan Amerika Syarikat untuk urusan kerja, tapi saya akur arahan kerajaan dan batalkan. Saya kerap ke luar negara kerana mewakili Malaysia sebagai duta produk.

“Saya juga sepatutnya menghasilkan single lagu Melayu secara eksklusif di platform JOOX untuk projek sulung 2020. Penggambaran muzik video juga akan dibuat, tapi kena tangguh dulu.

“Selain itu, saya juga ada filem baharu yang akan dibintangi, tapi belum boleh dikongsi kepada umum, katanya.

Daiyan menggunakan tempoh berkurung di rumah untuk berehat selain melakukan kerja kreatif.

“Apabila duduk rumah, saya buat live di media sosial untuk berinteraksi dengan peminat. Semua pihak dapat rehat termasuk saya. Sebelum PKP, saya kerap mengembara ke luar negara dan jarang dapat rehat di rumah.

“Sekarang ini masanya untuk saya berehat sambil habiskan masa dengan melakukan kerja kreatif seperti menghasilkan lagu dan lirik. Dulu tak banyak masa untuk buat benda ini, katanya.

Sementara itu, Daiyan turut mengambil inisiatif sendiri dengan menyalurkan derma lebih RM7,000 kepada badan bukan kerajaan (NGO), keluarga serta individu yang memerlukan pertolongan akibat pandemik Covid-19.

“Usaha ini dibuat sebelum PKP dikuat kuasa kerana saya amat bersimpati dengan golongan kurang berupaya demi meringankan beban mereka, katanya.

HABISKAN masa dengan melakukan kerja kreatif seperti menghasilkan lagu dan lirik.
HABISKAN masa dengan melakukan kerja kreatif seperti menghasilkan lagu dan lirik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 6:00 AM