HATTAN mahu Aina Abdul buat album penuh.
HATTAN mahu Aina Abdul buat album penuh.
Ridzuan Abdul Rahman

DATUK Hattan, 58, menyifatkan penyanyi, Aina Abdul mempunyai bakat besar dan memiliki masa depan cerah dalam industri muzik tanah air.

Hattan yang cukup meminati nyanyian Aina percaya dia boleh pergi lebih jauh sekiranya menghasilkan beberapa album penuh berbanding cenderung mengeluarkan single.

"Seseorang penyanyi yang memiliki album mempunyai kelebihan khususnya apabila mengadakan persembahan kerana mereka boleh menyanyikan banyak lagu sendiri.

"Saya menonton konsert Aina di Istana Budaya sebelum ini. Ia agak mengecewakan saya kerana dia hanya mempunyai beberapa lagu sendiri saja. Selebihnya hanya menyanyikan lagu orang lain.

"Aina antara penyanyi yang saya suka vokalnya. Suaranya bagus, dia juga pemenang Anugerah Juara Lagu, tapi sayang lagu pula tak cukup. Jadi, kena ada pakej suara dan album," katanya ditemui pada sidang prapelancaran Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di sebuah hotel baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat kebanjiran penyanyi baru di pasaran sekarang, tetapi agak menyedihkan mereka hanya boleh menyanyikan beberapa lagu sendiri yang tidak banyak jumlahnya.

AINA memiliki vokal hebat.
AINA memiliki vokal hebat.

"Melalui pakej suara dan album, seorang penghibur boleh membuatkan diri mereka kekal relevan, malah diingati buat tempoh yang lama.

"Jadi, suka atau tak suka, seseorang artis itu harus menghasilkan album penuh buat peminat. Kasihan kerana perkara ini terjadi.

"Sekarang nak hasilkan lagu peruntukan dalam kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 misalnya. Jadi duit dari persembahan itu boleh digunakan untuk buat album penuh," katanya.

Sementara itu, Hattan bersama Datuk Awie, Ella dan Ziana Zain terpilih untuk menjayakan Konsert Rakyat yang diadakan secara percuma pada 24 September ini, Petaling Jaya, Selangor.

"Saya memilih untuk menyanyikan lagu yang dekat dengan peminat antaranya lagu-lagu rakyat dalam persembahan itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 6:30 AM