Georgie Joseph


KOD terpenting yang jelas dipegang erat penyanyi Yuna dalam perihal berkarya adalah bukan sambil lewa. Walau makan bertahun, dia akan pastikan sebuah karya dihasilkan dengan penuh teliti.

Itulah penanda aras yang sentiasa disemat rapi Yuna atau pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara'ai, 37. Dedikasinya terhadap penghasilan sesuatu karya melangkaui rasa letih menghambakan diri sebagai anak seni.

Oleh demikian, penyanyi berpangkalan di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) itu takkan berjanji sesuka hati terutama buat peminat yang ternanti karyanya. Baginya, konsep kena puaskan hati orang lain dulu sudah lama dicampak ke belakang.

Pendekatan itulah juga dilakukan terhadap permintaan peminat di Malaysia yang saban tahun dambakan karya Melayu daripadanya. Tapi kesilapan lalu banyak mengajarnya untuk lebih sabar dengan prosesnya.

"Susah hendak berjanji dengan peminat di Malaysia setiap tahun. Ini kerana saya ada komitmen yang tinggi di LA. Lagipun saya tidak suka menghasilkan sesuatu yang sambil lewa kerana tidak adil bagi peminat.

"Saya tidak percaya dengan kaedah 'multi-tasking' kerana itulah kesilapan terdahulu pernah saya lakukan. Kini saya lebih fokus hanya kepada satu-satu perkara dan hasilnya saya berjaya meraih beberapa pengiktirafan bermakna besar," katanya.

Yang pasti, penantian peminat dan dirinya secara peribadi berakhir untuk hasilkan karya Melayu. Melancarkan lagunya berjudul Menanti baru-baru ini memberikan kelegaan puas buatnya.

Dia bukan semberono memilih pengkarya lain yang bergandingan untuk lunaskan lagu itu. Yuna melantik penyanyi rap, penggubah lagu dan penerbit muzik berpangkalan di Berlin, Jerman, Kenny J Macartney menyumbang sentuhan emasnya.

"Sudah tujuh tahun rupanya. Sehingga saya sendiri tidak sedar dengan peredaran masa yang pantas! Bagi saya, untuk menanti inspirasi itu datang adakalanya lambat dan tidak boleh dipaksa-paksa.

"Tujuh tahun kebelakangan ini saya banyak fokuskan tenaga saya untuk pembikinan album terdahulu. Ia termasuk Chapters, disusuli Rouge, dan yang terbaharu Y5.

"Setiap album menuntut saya persiapkan diri untuk siri jelajah sekitar AS dan kemudian pandemik Covid-19 pula melanda. Terlalu banyak yang berlaku," katanya.

Mengorek kisah di sebalik penghasilan Menanti, Yuna berkata dia menulisnya sewaktu menikmati percutian damai di Joshua Tree, LA. Hakikatnya, ketika itu ada beberapa lagu lain turut diilhamkan di sana.

"Selepas berakhirnya kekangan pandemik, sekitar bulan Ogos 2021, saya dan suami pulang ke LA selepas lebih setahun setengah berada di Malaysia. Kami pergi ke tempat bernama Joshua Tree untuk menulis beberapa buah lagu dan Menanti satu daripadanya.

"Ketika itu, Menanti masih belum dihasilkan sepenuhnya dan hanya ada melodi sahaja. Kemudian pada Januari 2023, selepas belek fail-fail lama, saya terjumpa melodinya semula dan mula menulis liriknya.

"Pada mulanya saya ingin menulis dalam bahasa Inggeris. Tetapi idea yang keluar adalah bahasa Melayu, maka terhasillah Menanti," katanya.

Menurutnya lagi, lagu itu bercerita mengenai kerinduan mendalam terhadap seseorang yang jauh. Seseorang yang sudah pergi tetapi masih lagi kukuh terpateri dalam hati, sebuah ikrar setia menanti seseorang yang amat dikasihinya.

"Sewaktu menulis lirik lagu ini, saya terkenangkan arwah sepupu saya Allahyarhamah Amy. Dialah yang pernah menjadi teman baik saya dan hidup saya seakan hancur apabila mengetahui bahawa dirinya kini sudah pergi buat selamanya.

"Jadi secara organiknya, saya curahkan jiwa saya ke dalam lagu ini. Ketika saya perdengarkan lagu ini kepada beberapa rakan artis, mereka merasa sedih walaupun bait-bait liriknya seperti lagu cinta,"katanya.

Lebih tenang abai hal remeh

Sehingga saat ini, Yuna antara artis yang sentiasa diambil berat ramai. Sebut apa saja komen berbaur kecaman, semua sudah pernah hinggap dalam kerjaya muziknya lebih dua dekad dalam industri.

Keputusannya berkelana ke belantara muzik di AS pun tidak mampu menepis perhatian peminat tempatan mengenainya. Lama hidup di perantauan, pelbagai fasa suka-duka sudah mewarnai kehidupannya.

Isteri kepada Adam Sinclair itu akui kini menikmati ketenangan hidup dengan enggan endahkan hal-hal remeh. Dia sebaliknya menepuk belakang sendiri berjaya melangkah sejauh sekarang.

"Berbanding dahulu, saya terlalu mengambil serius perkara yang 'trivial'.

Tetapi kini, saya lebih tenang. Saya sudah kecapi pelbagai hal yang saya sendiri tidak sangka akan peroleh walaupun terdapat halangan dan juga kecaman.

"Saya bangga dengan diri sendiri kerana mengejar cita-cita yang bukan untuk meraih pujian orang. Dahulu pun saya seorang yang terlalu bekerja keras dan sedar sebenarnya tidak bagus untuk diri saya.

"Kini saya lebih fokus dengan perkara yang lebih penting seperti kesihatan, keluarga dan kehidupan," katanya.

Dalam pada itu, Yuna tidak mahu terburu-buru menghasilkan album baharu. Dia memilih fokus terhadap penghasilan lagu dan EP (Extended Play) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 6:00 AM