KUALITI artistik disuntik dalam lagu mahu pun gaya hidup beri inspirasi kepada ramai.
KUALITI artistik disuntik dalam lagu mahu pun gaya hidup beri inspirasi kepada ramai.
Georgie Joseph

DIMENSI kerjaya seni penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha tidak dinafikan sangat menarik. Kualiti artistik yang disuntiknya dalam setiap aspek baik lagu mahu pun gaya hidup berjaya mencetus inspirasi kepada ramai.

Daiyan atau nama sebenar Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 27, ternyata mengambil serius mengenai estetika kreativiti dalam dirinya untuk disuntik menerusi produk seni dihasilkan. Tidak sesaat pun, dia terlepas pandang setiap perincian kualiti yang mahu ditunjukkannya.

Hal itu diakui penyanyi lagu On My Way terbabit, di mana menurutnya sejak dahulu lagi dia memang suka berkarya. Bukan sekadar dalam lagu, sebaliknya dalam kehidupan seharian termasuk mengubah suai rekaan dalaman di kediamannya.

"Kalau boleh setiap benda yang saya lakukan, mestilah memiliki nilai artistik berkualiti. Itu membuktikan, bahawa saya memang sangat serius untuk memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang cuba ditunjukkan kepada dunia.

"Peminat yang sudah lama mengikuti perjalanan hidup saya, mereka pasti tahu obsesi saya terhadap elemen kreativiti. Bagi saya, berkarya itu tiada hadnya dan selagi kita boleh tunjukkan dalam karya tidak kisahlah lagu atau aspek lain, buat saja.

"Cuma, sejak kebelakangan ini ramai yang baharu mula perasan elemen itu dalam kehidupan saya. Ia ternyata satu kepuasan dalam diri, apabila mereka turut ambil tahu dan terinspirasi daripada apa yang mereka lihat saya lakukan," katanya.

DAIYAN kembali dengan lagu Melayu berjudul On My Way.
DAIYAN kembali dengan lagu Melayu berjudul On My Way.

Berkongsi lanjut, Daiyan tidak menafikan kekangan masa menjadi halangan terbesar untuknya menyerlahkan sisi artistik dalam diri sebelum ini. Lantas, dia menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah akibat pandemik Covid-19 adalah satu hikmah.

Terutama, menyentuh mengenai kediaman solonya yang kian menjadi bualan dalam kalangan pengikut di media sosial. Dekorasi yang digunakan, selain dia mengubah suai kediaman itu mengikut cita rasa yang diinginkan hingga begitu dikagumi ramai.

"Selepas terperap kerana berkurung di rumah, barulah saya kembali rancak menghias dan inilah obsesi baharu yang akhirnya dikenal pasti. Maklum saja, rumah adalah ruang yang paling penting untuk kita menenangkan jiwa.

"Justeru, saya gunakan masa sepanjang tempoh PKP itu untuk menyalurkan kreativiti terhadap rekaan dalam rumah sendiri. Seronok juga, apabila diri sendiri puas dengan hasil artistik itu. Ditambah pula, penghargaan daripada pengikut di media sosial yang menyukainya," kata Daiyan.

Kembali rakam lagu Melayu

Meskipun rancak mempromosikan lagu baharunya On My Way, Daiyan akui teruja ingin kembali dengan lagu berbahasa Melayu. Mana tidaknya, terdahulu dia lebih memfokuskan kepada sebuah album Inggeris dan terputus hubungan dengan arus perdana seketika.

"Kali terakhir saya tampil dengan lagu bahasa Melayu adalah pada 2018 berjudul Langit. Jadi, ada peminat bertanya-tanya bila saya mahu kembali hasilkan lagu Melayu dan akhirnya terlancar juga lagu On My Way.

"Jujur, saya sangat teruja apabila dapat kembali menjayakan promosi, membuat kemunculan TV dan radio, disebut semula dalam arus perdana. Saya sangat berharap lagu baharu ini diterima baik memandangkan setakat ini penerimaannya sangat memberangsangkan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu itu, Daiyan berkata, dia bersyukur apabila karya terbabit mendapat sentuhan daripada beberapa komposer terkenal tanah air seperti Omar K, Mike Chan dan Faizal Tahir. Tidak ketinggalan, lagu itu juga menjadi projek eksklusif JOOX Malaysia.

"Lagu ini adalah berkisar mengenai sesiapa juga di luar sana, yang dalam perjalanan mencari siapa diri mereka serta apa lagi boleh dicapai dalam hidup. Saya tahu ramai individu di luar sana jadi buntu apabila tiba-tiba tersangkut pada satu tahap dan mulalah mempersoal kebolehan diri.

"Mesej itulah yang saya mahu pendengar ambil iktibar dalam lagu ini, di mana pasti ada jalan terbaik untuk memajukan diri masing-masing. Kita hanya kena percaya pada keupayaan diri dengan bekerja keras dan yakin setiap usaha dicurahkan tentu membuahkan hasil di kemudian hari.

"Justeru, saya ucapkan terima kasih kepada tiga penerbit yang menjadikan karya ini lebih indah dan bermakna. Pihak JOOX Malaysia juga, tidak henti mencurahkan usaha memastikan lagu ini terus ke depan dan saya sangat terharu," katanya.

AKUI obsesi terhadap seni artistik sangat mendalam.
AKUI obsesi terhadap seni artistik sangat mendalam.

Impian lebar sayap ke Amerika Syarikat

Sebagaimana dilakukan penyanyi Yuna yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Daiyan tidak menafikan dia juga memasang impian mengidam membina nama di negara jolokan 'Uncle Sam' itu. Realitinya, bukan sekadar ingin ke AS, tetapi yang pasti dia dapat membina jenama bakat di luar Malaysia.

Oleh itu, dia amat gembira apabila kerjaya seninya menarik perhatian penyanyi Sam Tsui yang cukup terkenal di negara berkenaan. Mengakui kini bersahabat baik dengan Sam, Daiyan yakin pasti ada ruang buatnya untuk merealisasikan impian itu pada masa akan datang.

"Pengalaman menjadi artis pembuka kepada beberapa konsert siri jelajah Sam sebelum ini sangat-sangat berharga. Hakikatnya, itulah pertama kali saya mendapat peluang keemasan untuk menunjukkan bakat dimiliki di beberapa negara luar selain tanah air sendiri, Malaysia.

"Bukan sekadar dengan Sam, saya kini mengenali ramai rangkaian rakan dari AS. Sekali gus, membuatkan semangat saya membuak-buak mahu bekerja dengan mereka lagi. Perkenalan itu akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk misi membawa nama ke luar," katanya.

Daiyan juga mengakui caranya mungkin berbeza dengan penyanyi lain di Malaysia, namun berharap segala usahanya membuahkan hasil seperti diinginkan. Baginya, dia yakin pendekatan yang dilakukan itu seiring dengan matlamat iaitu utamakan kualiti dan tidak pernah gentar hendak pergi lebih jauh.

"Tak dinafikan, cara saya mahu mengembangkan nama dan bakat dalam karier seni memang sedikit berbeza di mana lebih suka mengikut keinginan sendiri. Semestinya, saya tahu wujud pro dan kontra tetapi selagi percaya pada kemampuan diri, pasti ada jalannya.

"Sekarang, saya sedar tidak cuma mahu sekadar muncul dan menyerlah diri di persada arena seni arus perdana demi kemahsyuran sementara, sebaliknya saya mahu apa saja yang saya beri atau tunjukkan itu memberi kepuasan diri serta kesan berkualiti untuk dihargai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 6:00 AM