KINI berani keluar dari zon selesa.
KINI berani keluar dari zon selesa.
Georgie Joseph


SEIRING dengan kematangan usia selain sudah bergelar isteri, Yuna, 33, kini lebih berani dan terbuka menjadi diri sendiri.

Dia tidak mahu lagi terperangkap dalam kepompong zon selesanya terutama dalam karier muzik.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai berkata, beberapa tahun lalu dia dibelenggu pelbagai jenis kebimbangan.

Selain mengenai penerimaan terhadap karya dan kerjayanya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), persepsi orang lebih ditakutinya.

Bagaimanapun, pengalaman mengajarnya untuk lebih mengutamakan apa yang terbaik buatnya.

Yuna tidak mahu hipokrit untuk menjadi diri sendiri walaupun sukar memuaskan hati banyak pihak.

“Sekarang saya melihat kehidupan dalam sisi yang sangat berbeza. Saya lebih terbuka untuk bercerita mengenai identiti sebenar dan pengalaman sendiri.

“Dalam salah satu lagu terbaharu saya iaitu Likes, saya bercerita mengenai betapa sukarnya memuaskan hati orang lain dalam media sosial seperti Instagram. Lebih baik tunjuk saja siapa saya yang sebenar,” katanya.

Selain itu, Yuna juga terbuka mengenai persoalan yang ditimbulkan segelintir pihak mengenai cara pemakaian tudungnya.

Yuna melihat situasinya itu sangat menarik untuk dibincangkan secara lebih lantang dan berani.

“Orang luar selalunya akan bertanya apa yang saya pakai di bahagian kepala. Orang Malaysia pula akan mempersoalkan mana-mana bahagian yang mereka kurang berkenan.

“Saya lihat situasi ini sangat menarik dan tersepit di tengah-tengah. Bagaimanapun, kini saya berani menulis mengenainya yang lima tahun lalu pastinya risau menyuarakan kebenaran itu,” katanya.

d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Lebih berani menari

Sekian lama Yuna memendam hasrat untuk memasukkan tarian dalam persembahan, akhirnya dia memutuskan untuk melakukannya.

Bagi Yuna, itu menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa keluar dari zon selesa.

Kebetulan baru melancarkan album baharu berjudul Rogue, keberanian Yuna untuk menari di pentas adalah hasil sokongan suaminya, Adam Sinclair.

“Sudah tanggungjawab saya untuk hiburkan penonton dan hidupkan setiap persembahan. Disebabkan itu, saya putuskan menari untuk lagu dalam album Rogue. Sayang jika tidak buat apa-apa memandangkan lagunya rancak.

“Pada mulanya menari cuma idea saja sehinggalah suami sarankan untuk saya teruskan. Tidak semestinya menari bersungguh-sungguh seperti lagu hip hop, tapi sekadar pergerakan yang menyeronokkan.

“Amat penting untuk peminat melihat sisi berbeza saya sambil berseronok di pentas. Saya perlu keluar dari zon selesa. Saya seronok apabila ada suami yang menjadi sistem sokongan terkuat dan mahu lihat saya berkembang sebagai artis,” katanya.

Makin dewasa dalam Rogue

Yuna menyifatkan album Rogue adalah yang terbaik pernah dihasilkannya.

Dia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai tahap kualiti terbaik ketika menghasilkan album itu.

“Bahagian paling susah semestinya untuk menyiapkan album itu kerana saya memutuskan berehat seketika selepas berkahwin tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, saya berhenti menulis lagu, jalani kehidupan biasa dan fokus kepada keluarga.

“Apabila kembali ke AS, barulah saya mula tulis dan merakam lagu. Berkali-kali juga saya menulis dan merakam semula lagu yang saya rasa perlu ditambah baik,” katanya.

Yuna yang puas hati dengan album itu menganggap ia bukan sekadar album semata-mata, tetapi gambaran kepada dirinya sekarang.

“Rogue yang bermaksud merah adalah gambaran kepada bagaimana saya menikmati kewanitaan dalam diri dan bukan berusia 19 tahun lagi. Album ini adalah jalan terbaik untuk memperkenalkan Yuna semula kepada dunia.

“Saya kini dewasa tapi pada masa sama tetap berjiwa remaja. Bagaimanapun, semestinya semakin matang serta maju dan saya benar-benar dapat rasakan jiwa itu dalam diri sekarang,” katanya.

Yuna juga bersyukur apabila dapat bekerjasama dengan ramai nama handalan menerusi album itu termasuk G-Eazy dan Jay Park.

Baginya, kerjasama sebegitu sebenarnya mengajar dia meluaskan pemikirannya.

“Sebenarnya sangat bagus apabila dapat idea baharu hasil kerjasama dengan artis lain. Walaupun mungkin idea mereka berbeza, saya akan beri peluang untuk mengkaji semula dan ternyata idea itu sangat bagus.

“Itu sajalah cara untuk keluar dari zon syok sendiri dan terperuk dalam dunia sendiri. Kita kena belajar nilai baru daripada mereka selain berhubung dengan orang lain dengan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 5:40 AM