REAKSI Bunga Citra Lestari yang menangis sewaktu persembahan Judika. FOTO Tular
REAKSI Bunga Citra Lestari yang menangis sewaktu persembahan Judika. FOTO Tular
Agensi

“SAYA tak berani renung wajah BCL (Bunga Citra Lestari) sepanjang menyanyikan lagu itu kerana apa yang dilaluinya bukan perkara mudah," kata penyanyi Judika yang mengakui serba-salah apabila BCL gagal menahan air mata ketika persembahannya di pentas akhir Indonesia Idol 2020 di Studio RCTI Kebon Jeruk, Jakarta Barat, malam tadi.

Judika berkata, dia sebenarnya tidak mahu menyanyikan lagu terbarunya berjudul Tak Mungkin Bersama itu tetapi sudah kesuntukan waktu dan tiada lagu yang sesuai.

"Saya sebolehnya tidak mahu sahabat saya menangis dan bersedih lagi, tapi ternyata lagu yang disampaikan itu begitu dekat dengan dirinya.

“Sepanjang menyanyikan lagu ini saya lihat ke bawah dan ke arah penonton. Saya hanya terbayangkan wajahnya saja. Tak pernah saya bayangkan sakitnya seperti ini," katanya kepada sebuah portal berita Indonesia.

Lirik lagu itu ternyata menyentuh perasaan BCL yang juga juri program berkenaan bersama Judika, Ari Lasso, Anang Hermansyah dan Maia Estianty sehingga tidak mampu menahan air matanya.

JUDIKA ketika menyanyikan lagu Tak Mungkin Bersama di pentas akhir Indonesia Idol. FOTO Tular
JUDIKA ketika menyanyikan lagu Tak Mungkin Bersama di pentas akhir Indonesia Idol. FOTO Tular

Dia yang kebiasaannya ceria ketika menjadi juri menangis teresak-esak dan meletakkan kepalanya di meja. Melihatkan situasi ini, Ari segera menghampiri BCL dan memeluknya bagi memberikan semangat supaya tabah melalui apa yang berlaku.

Sementara itu, rata-rata netizen memberikan reaksi berbeza berkenaan perkara ini.

Ada yang menyalahkan stesen penyiar RCTI kerana membenarkan Judika menyampaikan lagu ini yang dilihat seolah-olah tidak menghormati kesedihan BCL.

Bagaimanapun, kenyataan ini disanggah segelintir peminat lain yang mendakwa perancangan ini sudah dibuat awal dan tidak ada kena-mengena dengan kematian Ashraf.

Pada 18 Februari lalu, suami BCL, Ashraf Sinclair yang juga pelakon Malaysia meninggal dunia di Hospital Metropolitan Medical Centre (MMC), Kuningan, Jakarta pada jam 4.51 pagi waktu tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 3:23 PM