FOTO Ihsan Tuan Muhammad Shahrul Azlan
FOTO Ihsan Tuan Muhammad Shahrul Azlan
Redzuan Muharam


KEADAAN bayi, Tuan Nur Raisha Mikayla berusia tujuh bulan yang menghidap penyakit hati kronik atau biliary atresia (BA), dilaporkan kritikal dan kemungkinan menjalani pembedahan pemindahan hati lebih awal pada minggu hadapan.

Kini, Tuan Nur Raisha Mikayla atau mesra dipanggil Raisha ditahan di wad Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak (KPWKK) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya untuk pemantauan.

Bapanya, Tuan Muhammad Shahrul Azlan, 27, berkata, dia dan isteri membawa Raisha ke PPUM untuk melakukan pemeriksaan dengan doktor.

“Sepatutnya, temu janji diadakan semalam untuk melihat perkembangan keadaan Raisha tetapi anak saya ditahan kerana limpanya semakin membesar dan ususnya membengkak.

“Masalah itu menyebabkan Raisha terpaksa minum susu setiap tiga jam sekali melalui tiub yang dipasang pada hidung.

“Kata doktor, pembedahan awal perlu dijalankan seandainya usus Raisha semakin membengkak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tuan Muhammad Shahrul berharap dana diperlukan cukup sebelum waktunya bagi membolehkan pembedahan diteruskan.

“Buat masa ini, saya dan isteri bergilir-gilir menjaga Raisha di wad dan kami sentiasa bersiap sedia menerima perkembangan terkini daripada doktor.

“Terima kasih kepada yang mengikuti perkembangan Raisha dan diharap mereka yang mahu mengetahui maklumat sebenar boleh menghubungi saya di talian 014-3999306 atau isteri (014-5405148) bukannya nombor lain,” katanya.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan kisah Raisha yang memerlukan RM160,000 untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di PPUM, Petaling Jaya sebelum April depan.

Pembedahan itu disyorkan doktor selepas melihat keadaan Raisha yang kronik dan ibu bayi berkenaan, Siti Nur Amira Ibrahim, 27, akan menjadi penderma hati.

Berita berkaitan

Tolong bantu adik Raisha

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 11:37 PM