DINDA Permata
DINDA Permata
Sudirman Mohd Tahir


NAMA dan personaliti penyanyi asal Indonesia, Dinda Permata, 28, mula dikenali ketika menyertai program realiti Big Stage musim kedua lalu.

Walaupun tidak bergelar juara, siapa sangka bakat Dinda atau nama sebenarnya Dinda Permata Suci Nababan disunting komposer terkenal Farouk dan Amylea untuk menyanyikan lagu mereka.

Tuah buat Dinda juga apabila lagu Syarat Bahagia terbitan dan edaran Seventeen Eleven Music itu dipilih menjadi lagu tema drama Adellea Sofea yang ditayangkan di slot Akasia, TV3, baru-baru ini.

Bagi Dinda, terpilih menyanyikan lagu Farouk dan Amylea selaku penulis lirik sesuatu yang bermakna dalam kerjayanya.

“Saya tidak pernah menjangka boleh menyanyikan lagu daripada komposer sehebat Abang Farouk dan Kak Amylea. Terpilih bekerjasama dengan mereka adalah rezeki dan saya sangat bersyukur. Apatah lagi saya mengagumi karya mereka,” katanya.

Menurut Dinda, selepas program itu dia merancang untuk pulang ke Indonesia bagi meneruskan kerjaya seni di sana.

Namun, tawaran diberikan untuk menyanyikan lagu itu membuka ruang buatnya untuk terus mengembangkan bakat di negara ini.

SYUKUR dapat kembang bakat di Malaysia.
SYUKUR dapat kembang bakat di Malaysia.

“Saya fikir selepas berakhirnya Big Stage 2, saya akan pulang ke Indonesia dan melakukan banyak pekerjaan di sana.

“Mungkin ini perancangan Allah untuk saya apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ciptaan mereka. Ketika pertama kali dihubungi, saya hanya mampu mengucap syukur dan Alhamdulillah dengan kuat,” katanya.

Menariknya, lagu Syarat Bahagia itu antara lagu tema dalam drama itu yang paling diminati peminat, sekali gus meningkatkan populariti Dinda.

“Alhamdulillah, berkat doa orang sekeliling seperti keluarga dan kepercayaan Kak Amylea dan Abang Farouk, saya mendapat peluang untuk diterima di industri hiburan di sini.

“Jika saya diminati dan popular di sini, itu semua kerana mereka. Semoga saya boleh memberi kesan baik untuk selalu diminati dan tidak mengecewakan mereka yang sudah menyokong dan mendoakan saya,” katanya.

Mengenai lagu itu, Dinda berkata, ia seolah-olah memberi nyawa dan kena dengan dirinya.

“Daripada semua lagu saya, lagu ini yang saya selalu dengar berulang kali. Saya berasakan ia ada nyawa.

“Muzik, melodi dan setiap bait lirik boleh dikatakan dihasilkan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Saya pasti, mereka juga mahu lagu ini sampai ke hati setiap pendengar dan peminat,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaannya sekiranya lagu itu dipertandingkan di Muzik Muzik 34, Dinda mengakui itu antara impiannya.

“Ini adalah mimpi besar dan baru untuk saya jika mendapat kesempatan bertanding di Muzik Muzik.

“Rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga untuk semua yang berbaik hati percaya dan menerima saya berkarya di negara yang dari kecil saya sukai ini,” katanya.

Muzik video rasmi lagu itu yang dilancarkan sejak 8 Januari lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music mencecah tontonan lebih 200,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 6:00 AM