DIANGGOTAI Ali Sariah, Putuceri, Asmawi dan Azham Ahmad. FOTO Rohanis Shukri
DIANGGOTAI Ali Sariah, Putuceri, Asmawi dan Azham Ahmad. FOTO Rohanis Shukri
Syanty Octavia Amry

SENTIASA menghargai sokongan peminat terhadap muzik yang mereka perjuangkan, persembahan showcase Kugiran Masdo pada Sabtu lalu di Bentley Music Hall, Damansara, benar-benar menghiburkan.

Lebih 1,000 penonton hadir dengan menggayakan baju era 60-an, suasana menjadi hangat apabila Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah, Putuceri, Asmawi dan Azham Ahmad muncul di pentas kira-kira jam 9 malam.

Showcase bertemakan Malam Keramaian Dinda Kugiran Masdo itu diadakan sempena pelancaran single baru band itu berjudul Dinda.

Single Dinda yang kini hit di semua saluran radio dan media sosial akan dimuatkan dalam album kedua mereka tidak lama lagi.

Menariknya, secara eksklusif video muzik Dinda ditayangkan buat julung kalinya kepada peminat dalam acara itu.

“Video muzik ini kami lancarkan malam ini (Sabtu) dan akan disiarkan di semua saluran TV dan media sosial dalam masa terdekat.

“Showcase ini diadakan sempena pelancaran lagu Dinda. Walaupun ramai sudah tahu lagu ini dan ia dimainkan di pelbagai platform, malam ini (Sabtu) adalah pelancaran rasminya,” kata Ali.

Tampil dengan tiga segmen persembahan, Kugiran Masdo menampilkan 17 lagu termasuk lapan lagu daripada album pertama mereka.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Bunga, Malam Pesta Rock and Roll, Suzana, Miss Flower, Nearly Near You dan Berduka Lara.

DITUBUHKAN sejak 2015, Kugiran Masdo cepat meraih populariti. FOTO Rohanis Shukri
DITUBUHKAN sejak 2015, Kugiran Masdo cepat meraih populariti. FOTO Rohanis Shukri

Turut dipersembahkan lagu Kecundang, Ratu Hati, Tunggu Sekejap, Malam Bulan di Pagar Bintang, Can’t Help Falling in Love With You, Dinda, Teruna Dara, Berchanda di Malam Indah, Malam Pesta Muda Mudi, Bunyi Gitar dan Racun.

Hadir sama menghiburkan penonton ialah Kolar Hijau yang menjadi pembuka persembahan manakala penutup pula oleh Hujan.

Pada malam itu, Kugiran Masdo turut mengambil peluang melakukan kutipan amal bagi tabung Cinta Syria Malaysia (CSM) berikutan pasukan berkenaan juga hadir memberi sokongan.

Terharu dapat banyak tajaan

Walaupun masih ‘hijau’ dalam arus perdana, kumpulan yang ditubuhkan pada 2015 itu pantas meraih populariti.

Bersyukur dengan perkembangan positif itu, mereka gembira apabila showcase kali ini mendapat tajaan banyak pihak.

Malah tajaan yang diterima juga bukan calang-calang antaranya Hot FM sebagai radio rasmi yang turut mengadakan peraduan buat peminat yang ingin menyaksikan showcase berkenaan.

“Alhamdulillah, showcase ini mendapat tajaan daripada banyak pihak meski ia berskala kecil.

“Terima kasih kepada semua penaja. Insya-Allah, ada rezeki kita akan bekerjasama lagi,” kata Ali.

Dalam pada itu, mereka berdebar dan tidak sabar berangkat ke London bulan depan bagi melakukan proses rakaman beberapa lagu untuk album kedua.

Menurut Ali, mereka akan berkampung di sana selama seminggu apabila semua lagu itu akan direkod di Abbey Road Studios.

“Sudah beberapa kali kami menangguhkan perancangan ini berikutan masalah kewangan.

“Mudah-mudahan kali ini semuanya lancar dan dipermudahkan,” katanya.

PENONTON berpuas hati dengan showcase yang sangat menghiburkan. FOTO Rohanis Shukri
PENONTON berpuas hati dengan showcase yang sangat menghiburkan. FOTO Rohanis Shukri

PERSEMBAHAN sempena pelancaran single Dinda. FOTO Rohanis Shukri
PERSEMBAHAN sempena pelancaran single Dinda. FOTO Rohanis Shukri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:01 AM