SERONOK dapat rakam lagu balada untuk single terbaharu.
SERONOK dapat rakam lagu balada untuk single terbaharu.
Sudirman Mohd Tahir


LAGU Bertakhta Di Hati boleh dikatakan lagu ‘berhantu’, sekali gus membawa nama penyanyi, Farahdhiya ke puncak populariti.

Kehadiran Farah, 36, atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin adalah pakej yang mana bukan saja memiliki personaliti menarik, tapi juga lantunan vokal yang bagus.

Selepas sekian lama tidak muncul dengan single terbaharu, Farah yang turut mencipta nama sebagai pelakon menerusi drama Spa Q kembali mempertaruhkan nasib untuk single terbaharu, Tegar.

Lebih mengujakan Farah apabila lagu itu mendapat sentuhan emas duo komposer yang kian meningkat iaitu Farouk Roman dan Amylea Azizan.

Malah, bagi Farah dia sudah lama menunggu lagu bergenre balada yang bagus, sekali gus menepati cita rasa peminat muzik tanah air masa kini.

“Ini lagu bergenre balada. Seronok dapat rakam lagu balada untuk single terbaharu sebab peminat sentiasa bertanya bila saya nak rakam lagu balada. Alhamdulillah, dapat lagu bagus dan ‘best’. Diakui, saya teruja dan berharap untuk yang terbaik.

“Lagi pula, peminat sudah lama tunggu lagu balada daripada saya sebab mereka ingat saya daripada lagu Bertakhta Di Hati. Jadi, mereka mahu lagu balada yang bagus daripada saya. Harapnya lagu ini berjaya.

“Rezeki saya juga apabila dapat bekerjasama dengan Farouk dan Amylea yang mana kita tahu mereka memang tengah ‘in’. Saya sangat gembira dan bangga dapat bekerja dengan mereka,” katanya.

Berkongsi lanjut, Farah yang juga naib juara program Gegar Vaganza musim ketiga berkata, kali pertama bekerjasama dengan Farouk dan Amylea memberikan pengalaman menarik.

“Lagu ini dirakam beberapa minggu lalu. Dua hari selepas dapat lagu, saya terus rakam. Masa untuk belajar lagu tak lama, tapi saya cuba urus dalam tempoh itu untuk belajar macam mana nak stail dan warnakan lagu itu mengikut lenggok saya sendiri.

“Di studio pun tak lama. Alhamdulillah, setiap kali masuk studio kerja saya dipermudahkan. Alhamdulillah, seronok kerja dengan mereka, mudah dan tak banyak masalah. Jadi, ia pengalaman baharu bekerja dengan mereka walaupun mereka muda, tapi sangat berbakat.

“Apa boleh dikatakan, lagu yang saya dapat daripada Amylea dan Farouk ini,

kali pertama dengar pun saya sudah suka sangat. Jadi, saya tahu dan yakin peminat akan suka lagu ini. Saya berharap dapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Kembali mempertaruhkan genre balada, Farah mengakui lagu sebegitu sudah menjadi ‘makanannya’ dan tidak sukar disampaikan.

“Sejujurnya, genre balada adalah jiwa saya. Bagi saya, genre ini yang terbaik buat saya. Menerusi genre ini, kita dapat berkarya dari segi nyanyian. Jadi, dari segi vokal kita boleh tunjuk kemampuan.

“Sebenarnya sudah lama tunggu untuk rakam lagu balada yang sedap dan bagus. Kalau boleh tak nak main rakam saja. Kalau sebagai pelakon kita perlu menjiwai watak dalam drama, sama juga macam menyanyi.

“Apabila nak masuk studio kena faham lagu, lirik dan sampaikan. Kita kena letakkan diri dalam lagu itu dan baru ia mudah dinyanyikan. Dalam masa sama, emosi pun sampai,” katanya.

Menariknya, Tegar juga dipilih menjadi antara lagu tema bagi drama Dendam Cinta Arissa yang mula ditayangkan sejak 9 Mac lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di slot DramaVaganza di saluran Astro Ria.

Lirik video rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music sejak semalam.

Serentak dengan itu, lagu terbitan Seventeen Eleven Music ini juga boleh distrim dan dilanggan di semua platform digital muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:13 AM