Rizanizam Abdul Hamid


“SEMASA menerima not RM10 ini daripada pelanggan bank akhir November lalu, saya tersentuh membaca tulisan pada duit dan nekad mencari pemiliknya.

“Saya pernah kehilangan ibu, sebab itu saya faham perasaan pemilik duit itu yang kehilangan ayah seperti dicoretkan pada wang berkenaan," kata Norhaizalifa Othman, 38, yang memuat naik gambar not RM10 di Facebook (FB), 30 November lalu sehingga kembali diserahkan kepada pemiliknya, Y Anne Malar, 26, hari ini.

Menceritakan semula kisah 'perjalanan' not RM10 itu, Norhaizalifa yang bekerja sebagai juruwang sebuah bank di Batu Berendam di sini berkata, dia menerima duit terbabit daripada pelanggan bank pada akhir November lalu.

"Selesai urusan di kaunter, saya menukar duit berkenaan dengan wang sendiri dan hanya terfikir memuat naik di FB untuk membantu mencari pemiliknya empat hari selepas itu.

"Tidak sampai dua hari, ia dikongsi lebih 28,000 kali sehinggalah pemiliknya, Anne menghantar mesej di FB saya pada 11.33 malam 1 Disember lalu,” katanya ketika ditemui Harian Metro sewaktu penyerahan not RM10 itu kepada Anne di sebuah restoran makanan segera di Batu Berendam hari ini.

Menurutnya, sebaik dihubungi Anne, kegembiraannya sukar digambarkan apatah lagi selepas membaca komen netizen yang mendoakan kebaikan hidupnya walaupun usahanya hanya sekecil RM10.

Norhaizalifa berkata, dia memang dapat mengagak pemilik not RM10 itu mungkin berbangsa Cina atau India berdasarkan penggunaan 'dad' (ayah) yang tertulis di wang berkenaan namun ia bukanlah halangan untuk membantu.

"Agama dan bangsa bukan halangan untuk kita berkasih sayang sesama manusia apatah lagi jika kehilangan itu adalah pemberian terakhir daripada orang tersayang.

"Saya pernah kehilangan ibu pada 2011, jadi saya tahu perasaan Anne yang kesedihan selepas kehilangan ayah pada 2010," katanya.

Sementara itu, Anne yang juga anak bongsu daripada lapan beradik berkata, pertemuan semula dengan not berkenaan dianggap hadiah bermakna sempena Krismas 25 Disember ini.

"Selama lapan tahun duit itu berada dalam jagaan saya bermula 21 Mei 2010 sehinggalah ia hilang selepas beg duit dicuri berhampiran Pantai Klebang, di sini, 1 September tahun lalu.

"Walaupun meletakkan harapan tinggi untuk menjumpai wang terakhir pemberian ayah, saya tidak sangka ia dapat ditemui semula selepas setahun kehilangannya.

"Terima kasih tidak terhingga kepada kak Hyza (Norhaizalifa) yang sanggup bersusah payah mencari pemilik wang ini walaupun hanya bernilai RM10," katanya menahan tangisan.

Harian Metro 2 Disember lalu menyiarkan bagaimana kuasa media sosial akhirnya ‘mempertemukan’ semula Anne dengan not RM10 pemberian terakhir mendiang bapanya, P Yesudass sebelum terbabit dengan kemalangan jalan raya.

Segalanya bermula selepas pemilik akaun FB bernama Hyza Ezany (Norhaizalifa) memuat naik gambar not RM10 pada 30 November lalu dengan tujuan meminta pertolongan menjejaki pemilik duit berkenaan.

Selepas menghubungi Norhaizalifa, Anne yang bekerja sebagai jurutera di Singapura menetapkan tarikh hari ini untuk bertemu.

Norhaizalifa menyerahkan not RM10 itu yang diletakkan bersama bingkai sebagai tanda kenangan mereka berdua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 8:00 PM
 NORHAIZALIFA bersama Anne menunjukkan not RM10 yang mempertemukan mereka. FOTO Rasul Azli Samad
NORHAIZALIFA bersama Anne menunjukkan not RM10 yang mempertemukan mereka. FOTO Rasul Azli Samad