MUHAMAD Nor Fahami bersama isteri Nurul Atiqah Alias, 27, dan anaknya, Muhamad Raiqal Hakimi, 3. FOTO Ihsan Pembaca
MUHAMAD Nor Fahami bersama isteri Nurul Atiqah Alias, 27, dan anaknya, Muhamad Raiqal Hakimi, 3. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“ARWAH ayah selalu berpesan biar hidup susah, tetapi jangan menganiaya orang lain."

Begitu kata Konstabel Sokongan Muhamad Nor Fahami Abd Kadir, 30 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin yang berhati mulia apabila memulangkan semula dompet mengandungi RM1,800 kepada pemiliknya, semalam.

Anggota dari Cawangan Bilik Gerakan itu berkata, dia menemui dompet itu terpaksa membukanya untuk mengetahui pemilik dan menyedari terdapat wang tunai RM1,800 di dalamnya.

Menurutnya, dompet berkenaan milik wanita bernama Chong Sik Kim, 61, berdasarkan kad pengenalan selain turut terselit kad perubatan.

"Pemilik dompet itu sebaya ibu dan tidak semena-mena saya teringatkan arwah ayah (Abd Kadir Abd Rahman) yang selalu berpesan jangan aniaya orang lain untuk hidup senang.

“Jika bersifat jujur, Allah akan datangkan rezeki dengan cara yang lain.

"Itu (wang tunai) bukan hak saya dan saya tahu mungkin dia (Chong) lebih memerlukannya untuk sambutan Tahun Baru Cina atau perubatannya. Saya juga bukan daripada keluarga senang dan memahami kesusahan orang lain," katanya.

Menurutnya, dia tidak mengharapkan balasan dan sebagai anggota polis, mereka dididik dengan kejujuran dalam melaksanakan tugas.

Katanya, selain minat dengan kerjaya kepolisan, dia juga mahu beramal dengan berbuat baik kepada sesama insan.

Terdahulu, menceritakan semula kejadian, Muhamad Nor Fahami berkata, dia pergi ke bengkel motosikal di Pulau Sebang, Melaka antara 11 pagi hingga 12 tengah hari atas urusan peribadi.

Katanya, dia kemudian mengisi petrol pada motosikalnya di sebuah stesen minyak berhampiran sebelum memulakan perjalanan pulang ke Tampin.

"Sewaktu melalui pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Sebang, saya ternampak dompet tercicir di atas rumput.

“Saya berpatah balik dan mengambilnya lalu meletakkan di dalam bakul motosikal," katanya yang diserap sebagai anggota tetap pada 2015.

Menurut Muhamad Nor Fahami, dia pulang ke IPD Tampin kerana perlu bertugas pada 4 petang semalam, dan menggunakan masa yang ada untuk menjejaki pemilik dompet itu.

"Saya meminta bantuan rakan sekerja untuk mengesan pemilik dompet melalui Police Report System (PRS). Lebih dua jam mencari, saya akhirnya dapat menghubunginya dan memintanya datang ke IPD Tampin," kata bapa kepada seorang anak itu.

Katanya, Chong datang ke balai polis pada 2.30 petang, dan waniat itu terharu apabila dompet miliknya ditemui semula.

Berita berkaitan

Terbaik Konstabel Fahmi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 2:49 PM