SEBELUM acara memotong kek hari lahir Haura.
SEBELUM acara memotong kek hari lahir Haura.
Oleh Ramlah Zainal


MESKIPUN berdepan kemelut rumah tangga, penyanyi dan pelakon terkenal, Lufya tetap cekal meneruskan kehidupan bersama anak tunggalnya, Laana Haura yang kini berusia dua tahun.

Walaupun tanpa kehadiran suami, Lufya tidak pernah lupa meraikan sambutan hari lahir anak kesayangannya itu saban tahun.

Bertemakan ‘Flamingo & Picnic’, majlis sambutan hari jadi Haura berlangsung sederhana tetapi meriah di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Bagi pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar, 34, ini dia berharap kemelut rumah tangganya dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

“Saya tidak mahu memanjangkan kes rumah tangga kami kerana mahu meneruskan kehidupan bersama anak.

“Saya juga perlu kuat untuk menempuh semua ujian ini demi membesarkan Haura sebaik mungkin dan merancang masa depannya,” katanya.

MAJLIS hari lahir Haura diraikan bersama teman rapat dan keluarga terdekat.
MAJLIS hari lahir Haura diraikan bersama teman rapat dan keluarga terdekat.

Mengenai perancangan selepas ini, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam ini berkata dia akan kembali bekerja untuk menyara kehidupan bersama anaknya.

“Saya masih meminati bidang nyanyian sampai sekarang.

“Malah, saya terpaksa akur rezeki lebih berpihak pada bidang lakonan,” katanya.

Pelakon drama Mahar Tanpa Cinta ini berkata, dia juga akan menerima watak yang sesuai dengan penampilan dan statusnya sekarang.

“Saya percaya dengan rezeki yang sudah ditetapkan Allah SWT untuk saya dan anak nanti,” katanya.

Rai bersama rakan artis

Majlis sambutan hari lahir Haura juga dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat, teman rapat dan rakan artis.

Antara rakan artis yang hadir ialah Irma Hasmie, Elfaeza Ul Haq, Sheera Iskandar dan personaliti televisyen, Farah Adeeba.

Menurut Lufya, dia bersyukur kerana majlis hari lahir Haura juga berjalan lancar seperti direncanakan.

“Alhamdulillah, ramai yang membantu dan merealisasikan penganjuran majlis hari lahir Haura kali ini.

“Selain acara potong kek hari lahir, ada aktiviti menarik disediakan untuk kanak-kanak yang hadir,” katanya.

Lufya berkahwin dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura.

LUFYA bersama Haura.
LUFYA bersama Haura.

Kisah pergolakan rumah tangga mereka mula menjadi perbualan ramai sejak Oktober 2018.

Sehubungan itu, Lufya turut memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Dalam perkembangan terbaharu, Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan tarikh sebutan semula pada 10 Disember depan bagi kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:20 AM