LUFYA menafikan menerima sebarang lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp seperti dakwaan suaminya. FOTO Arkib NSTP
LUFYA menafikan menerima sebarang lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp seperti dakwaan suaminya. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“SAYA harap pihak suami dapat failkan kes cerai di Mahkamah Syariah secepat mungkin supaya tidak menambahkan kesusahan dan keresahan kepada mana-mana pihak.

“Permudahkan urusan perceraian ini kerana saya wanita dan janganlah merumitkan lagi keadaan,” kata pelakon dan penyanyi, Lufya Omar, 34.

Lufya atau pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar berkata demikian kepada Harian Metro ketika mengulas dakwaan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 29, yang sudah melafazkan cerai padanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut Lufya, dia menafikan menerima sebarang lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp seperti dakwaan suaminya itu.

“Sepatutnya suami membuat pengesahan lafaz cerai serta memfailkan kes kerana dia yang mendakwa sudah melafazkan cerai melalui WhatsApp dan bukannya saya sebagai pihak isteri.

“Itupun kalau pihak suami tahu dari segi undang-undang dan sudut agama,” katanya.

Sebagai lelaki budiman, bijak dan bertanggungjawab, kata Lufya, suami sepatutnya tahu bagaimana proses yang betul untuk dilakukan.

“Saya reda serta bersedia kerana kuasa dan hak mutlak perceraian pada pihak suami.

“Cuma hormati undang-undang syariah negara kita dan hormati saya sebagai wanita,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia menerima ketentuan Allah SWT jika suami mahu menceraikannya.

“Biarlah perceraian berlaku menerusi saluran betul dan melakukannya sebagai lelaki budiman,” katanya.

Lufya berkahwin dengan Hafiz pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang berusia dua tahun.

Kemelut rumah tangga mereka menjadi bualan ramai beberapa hari lalu apabila pelakon itu memuat naik status mendakwa suaminya tidak menjalankan tanggungjawab selepas tiga bulan berkahwin.

Berita berkaitan

Suami cerai Lufya menerusi WhatsApp

Tekanan sekarang dah melampaui kemampuan - Lufya

Sukarnya nak jadi isteri solehah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 3:40 PM