Lufya Omar
Lufya Omar
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis masih menunggu kerjasama daripada pelakon, Lufya Omar bagi siasatan lanjut kes cubaan culik anak perempuannya, 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan yang turut mengambil kira dakwaan Lufya dicederakan masih berjalan.

"Kami masih menunggu kerjasama daripada pengadu (Lufya) untuk tindakan lanjut siasatan kes ini, meskipun percakapannya sudah dirakam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. FOTO AMIRUDIN SAHIB

Dalam kejadian itu, Lufya mendakwa seorang lelaki cuba menculik anak perempuannya, Laana Haura ketika berada di taman permainan rumah mereka di Kota Damansara.

Lufya atau nama penuhnya, Lutfyah Sheikh Omar bersyukur anak dan dirinya selamat, namun dia cedera di muka mendakwa telah dipukul menggunakan batang kayu.

Wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Kota Damansara kira-kira jam 6 pagi, 29 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 3:07 PM